CHILWELL perkasa benteng Chelsea musim depan. FOTO AFP
CHILWELL perkasa benteng Chelsea musim depan. FOTO AFP
AFP

PERTAHANAN England, Ben Chilwell menjadi pemain ketiga berprofil tinggi ditandatangani Chelsea dengan kontrak lima tahun dan yuran dilaporkan sekitar £50 juta (RM275 juta) daripada Leicester.

Chelsea yang sebelum ini mendapatkan Hakim Ziyech dan Timo Werner daripada Ajax dan RB Leipzig, dijangka menandatangani beberapa lagi pemain sebelum tarikh tutup jendela perpindahan.

The Foxes pula dalam laman webnya berkata 'ia salah satu yuran perpindahan terbesar pernah diterima' kelab.

"Saya teruja dan gembira menyertai Chelsea,'' kata Chilwell yang berusia 23 tahun dalam laman web kelab.

"Saya sedia menjadi sebahagian daripada skuad muda dan dinamik kendalian Frank Lampard dalam misi meraih kejayaan musim depan."

Chilwell yang meningkat naik menerusi akademi Leicester mempunyai 11 kap bersama England, tampil bersama Foxes pada Oktober 2015 dan beraksi 123 perlawanan.

"Perpindahan Ben diiringi doa setiap orang di Leicester City dan kelab berterima kasih di atas sumbangannya sepanjang tempoh menggembirakan bersama kami,'' kata Foxes dalam satu kenyataan.

Chelsea menduduki tangga keempat dan layak ke Liga Juara-Juara pada hari terakhir musim Liga Perdana selepas Leicester tersingkir daripada persaingan pada Julai lalu.

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata: "Kami berbesar hati melengkapkan pemain ketiga dalam skuad ini untuk musim depan.

"Ben membawa bersama pengalaman beraksi di Liga Perdana, Liga Juara-Juara selain di peringkat antarabangsa di sebalik usianya yang masih muda."

Chelsea turut dikaitkan dengan pertahanan veteran PSG dari Brazil, Thiago Silva manakala pemain Bayer Leverkusen, Kai Havertz semakin hampir berpindah ke Stamford Bridge.

Kelab juga menimbang beberapa pilihan di bahagian gawang dengan penjaga gol Ajax, Andre Onana dan Nick Pope dari Burnley dikaitkan dengan kelab London itu.

Pemain West Ham, Declan Rice turut kekal dalam radar Blues.

Bajet besar dikeluarkan pemilik kelab, Roman Abramovich mengukuhkan dominasi Chelsea dalam pasaran perpindahan sekali gus mengurangkan kesan krisis kewangan susulan pandemik yang menjejaskan banyak kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 7:33 AM