PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan FAM, Firdaus Mohamed. -FOTO NSTP
PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan FAM, Firdaus Mohamed. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia mempertimbangkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue perlawanan Piala AFF yang dijadual berlangsung pada Disember tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pertandingan percaya SNBJ boleh digunakan hujung tahun ini.

Katanya, pihaknya akan berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bagi mendapatkan kebenaran disamping beliau akan mengadakan pertemuan bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

"AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada dasarnya tidak ada masalah diadakan di SNBJ, dan memandangkan Piala AFF di bawah kelolaan AFF, kita akan dapat kebenaran mereka.

"Insya-Allah kalau semuanya 'OK' khususnya padang, kita boleh bermain di SNBJ. Itu adalah gelanggang keramat Harimau Malaya dan aura stadium itu sungguh luar biasa.

"Bukan saja mampu muatkan jumlah penonton yang ramai, bahkan kemudahan pengangkutan ke SNBJ juga baik seperti LRT yang akan memudahkan pergerakan penyokong.

"Apapun kita akan teliti dari semasa ke semasa perkembangan SNBJ dan rasanya tak ada masalah untuk dilangsungkan di sana," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan AFC tidak boleh campur tangan berkenaan pemilihan stadium menjelang saingan Piala AFF hujung tahun ini kerana ia anjuran AFF dan perlu mendapat kebenaran badan induk Asia Tenggara itu.

Sebelum ini, isu rumput dan air bertakung ketika kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Bukit Jalil bulan lalu menyaksikan AFC seolah 'merajuk' dan enggan membenarkan aksi antarabangsa diadakan di situ selagi masalah berkenaan tidak diatasi.

Untuk rekod, saingan Piala AFF akan kembali menggunakan format lama dengan empat aksi peringkat kumpulan akan dilangsungkan secara 'home' dan 'away' bakal menyaksikan dua perlawanan skuad Harimau Malaya dilangsungkan di depan penyokong sendiri.

Seperti format pada saingan 2018 lalu, setiap pasukan berpeluang menjadi tuan rumah bagi dua aksi peringkat kumpulan dengan dua perlawanan lagi diadakan di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 2:24 PM