STADIUM Nasional Bukit Jalil. FOTO ARKIB NSTP
STADIUM Nasional Bukit Jalil. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak akan menghalang jika Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dipilih untuk menganjurkan dua aksi peringkat kumpulan Piala AFF, hujung tahun ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya tidak boleh campur tangan berkaitan pemilihan venue kerana ia bukan pertandingan di bawah anjuran pihaknya, sebaliknya ia adalah tanggungjawab Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Malah, katanya, saingan itu sebenarnya bersifat persahabatan kerana ia bukanlah pertandingan diiktiraf Fifa yang menghadiahkan pungutan mata dalam sistem ranking dunia.

Ujarnya lagi, ia turut terpakai pada jendela aksi antarabangsa Fifa apabila jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu menggunakan SNBJ pada September dan November ini, ia terpulang kepada FAM serta pasukan lawan itu.

"Kalau bermain aksi persahabatan, itu tertakluk kepada dua-dua pasukan sama ada nak guna (Stadium Nasional Bukut Jalil), kita tak masuk campur.

"Kalau untuk aksi Piala AFF pun, ia terpulang kepada AFF. Kalau AFF lulus, boleh lah guna kerana itu pun sebenarnya dikira sebagai perlawanan persahabatan bukan kejohanan rasmi.

"Jadi secara teknikalnya, AFC takkan masuk campur stadium yang mahu digunakan pada perlawanan berstatus persahabatan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan kemungkinan venue luar Lembah Klang menjadi pilihan FAM jika penggunaan SNBJ tidak mendapat kelulusan daripada AFC bagi melangsungkan dua aksi Piala AFF hujung tahun ini.

Saingan Piala AFF kembali menggunakan format lama dengan empat aksi peringkat kumpulan akan dilangsungkan secara 'home' dan 'away' bakal menyaksikan dua perlawanan skuad Harimau Malaya dilangsungkan di depan penyokong sendiri.

Seperti format pada saingan 2018 lalu, setiap pasukan berpeluang menjadi tuan rumah bagi dua aksi peringkat kumpulan dengan dua perlawanan lagi diadakan di tempat lawan.

Terdahulu, ekoran isu rumput dan air bertakung di padang ketika kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu, AFC seolah-olah 'merajuk' dan enggan membenarkan aksi antarabangsa diadakan di situ selagi masalah berkenaan tidak diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 9:21 PM