HAALAND jaring dua gol ketika menentang Brighton. FOTO Reuters
HAALAND jaring dua gol ketika menentang Brighton. FOTO Reuters
Agensi

London: Ejen Erling Haaland, meramalkan penyerang Manchester City itu mampu mencipta satu lagi sejarah dengan menjadi pemain bola sepak pertama bernilai £1 bilion (RM5.35 bilion).

Haaland meninggalkan Borussia Dortmund untuk menyertai Manchester City selepas mengaktifkan klausa perpindahan bernilai £51.2 juta (RM274 juta) dalam kontrak bersama BVB pada Mei lalu dan kini muncul peledak paling digeruni di England.

Bintang Norway itu menjadi pemain pertama menjaringkan sembilan gol dalam lima aksi pertama Liga Perdana Inggeris pada Ogos lalu selain meledak tiga hatrik.

Haaland kini menembusi gawang 17 kali dalam 11 perlawanan termasuk dua golnya ketika membantu City menewaskan Brighton semalam dan menurut ejennya Rafaela Pimenta, pemain itu boleh mencipta sejarah pada perpindahan akan datang.

Ketika ditanya harga Haaland oleh Sky Sport Italia, Pimenta berkata: "Satu bilion, itu yang saya fikirkan. Jika anda letak bersama nilai bola sepaknya, imej dan periklanan, sudah pasti mencecah satu bilion.

"Saya fikir Erling akan menjadi pemain pertama mencapai nilai perpindahan sekitar satu bilion."

Perpindahan Neymar bernilai £200 juta (RM1 bilion) dari Barcelona ke Paris Saint-Germain pada 2017 kekal jumlah terbesar dibayar kepada mana-mana pemain namun rakan sepasukan Kylian Mbappe dijangka memecah rekod itu jika dia berpindah ke Real Madrid.

Bagi Haaland, terdapat beberapa pasukan mampu membawanya keluar dari Etihad, jadi perpindahan £1 bilion boleh menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 10:56 AM