MCTOMINAY meraikan jaringannya. FOTO AFP
MCTOMINAY meraikan jaringannya. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag memuji semangat dan kepercayaan pasukannya ketika Scott McTominay menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan Omonia Nicosia 1-0 di saingan Liga Europa, hari ini.

McTominay, yang dibawa masuk ketika berbaki kurang 10 minit, merembat masuk gol kemenangan selepas menerima umpanan daripada Jadon Sancho.

Keputusan itu bermakna United kekal tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan E, Real Sociedad, yang menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 untuk kemenangan keempat mereka.

United mendominasi dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi sering berdepan kekecewaan sehingga McTominay meledak gol kemenangan.

"Dalam pasukan ini terdapat banyak kreativiti dan keupayaan untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang anda mempunyai malam di mana anda tidak akan berjaya. Hari ini adalah malam itu.

"Tetapi perkara yang baik ialah pasukan terus berusaha dan mereka tidak berputus asa. Mereka terus percaya dan akhirnya kami mendapat ganjaran.

"Saya sangat gembira dengan sikap mereka. Ia mengenai semangat dalam pasukan. Ia bukan hanya mengenai 11 pemain.

"Pemain gantian boleh memberi impak yang besar apabila mereka mempunyai sikap dan fokus yang betul," katanya.

Penjaga gol Omonia, Francis Uzoho adalah pemain terbaik pelawat apabila menafikan 11 daripada 12 cubaan tepat United.

Kemenangan bermakna itu mencerahkan harapan United untuk mengungguli peringkat kumpulan dan mereka akan menentang Sheriff Tiraspol di tempat sendiri pada perlawanan seterusnya 27 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 6:55 AM