RONALDO (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang kunjungan Omonia pada aksi Liga Europa, awal pagi Jumaat ini. FOTO Reuters
RONALDO (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang kunjungan Omonia pada aksi Liga Europa, awal pagi Jumaat ini. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata, dia mahu mendapatkan aksi terbaik daripada Cristiano Ronaldo selepas penyerang veteran itu menjaringkan gol ke-700 ketika menentang Everton, hujung minggu lalu.

Ronaldo yang muncul penjaring terbanyak United dengan 24 gol dalam semua kejohanan musim lalu, kurang beraksi musim ini apabila empat kali diturunkan dalam kesebelasan utama dan menjaringkan dua gol.

Ten Hag berkata, bintang Portugal itu yang terlepas aksi pramusim dan dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain dilihat kurang tajam pada awal musim, tetapi kini mula menemui sentuhannya.

"Saya mahu menyokongnya sebaik mungkin. Kami ada permintaan tertentu daripada pemain dan apa yang kami jangkakan di sesetengah posisi," kata pengendali dari Belanda itu menjelang kunjungan kelab Omonia pada aksi Liga Europe, awal pagi Jumaat ini.

"Saya mahu dapatkan yang terbaik daripadanya, dia dalam keadaan lebih baik sekarang dan saya gembira dengan perkembangan itu.

"Pada peringkat awal, ia berkaitan kurang kecergasan dan ia dibuktikan sekali lagi kerana tiada siapa boleh terlepas persediaan pramusim."

United sedia menurunkan barisan terbaik menentang Omonia, yang mencabar mereka sebelum kecundang 2-3 pada ketika United mahu muncul juara Kumpulan E.

Anak buah Ten Hag yang menduduki tangga kedua ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu kumpulan, Real Sociedad.

"Kami akan berhabis-habisan untuk menang. Ini adalah aksi Eropah dan memang sukar. Saya beritahu pemain beberapa minggu lalu mengenai kepentingan muncul juara kumpulan.

"Kami mahu menang semua perlawanan, tetapi jelas kami mahu mengelak daripada menamatkan cabaran di tempat kedua kumpulan," tambah Ten Hag.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 9:34 PM