AKSI Jack Grealish (tengah) ketika bertemu Copenhagen. FOTO Reuters
AKSI Jack Grealish (tengah) ketika bertemu Copenhagen. FOTO Reuters
AFP

Copenhagen: Pep Guardiola mengakui Manchester City 'sangat letih' selepas melihat pasukannya yang beraksi dengan 10 pemain layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara apabila meraih keputusan seri 0-0 menentang FC Copenhagen, hari ini.

Guardiola menyaksikan gol Rodri dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) sebelum Sergio Gomez dibuang padang kerana melakukan kekasaran di Stadium Parken.

Penyerang City, Riyad Mahrez juga gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum Gomez disingkirkan sebelum separuh masa pertama.

Dengan Erling Haaland diletakkan di bangku simpanan menjelang kunjungan City ke Liverpool, Ahad ini, juara Liga Perdana itu gagal menjaringkan gol buat kali pertama selepas 24 perlawanan dalam semua pertandingan.

City terpaksa berpuas hati mengelak daripada mengalami kekalahan selepas beraksi dengan 10 pemain selama sejam.

Anak buah Guardiola mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati beberapa jam kemudian selepas Borussia Dortmund seri 1-1 menentang Sevilla dalam satu lagi aksi Kumpulan G ketika berbaki dua perlawanan.

"Untuk bermain selama satu jam seperti itu adalah sukar. Pemain sudah memberikan segala-galanya.

"Ia satu mata yang berharga dan kami menerima keputusan ini. Saya sangat berpuas hati. Esok kami akan kembali melakukan persiapan semula sebelum bertemu Liverpool," kata Guardiola.

Jelas sekali City agak tumpul tanpa Haaland yang sudah menjaringkan 20 gol dalam 12 perlawanan kompetitif sejak menandatangani kontrak dari Dortmund.

Guardiola berkata dia mahu memberi rehat kepada Haaland kerana penyerang itu menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas kemenangan Sabtu lalu ke atas Southampton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 6:37 AM