HAALAND meledak dua gol ketika membantu City mengalahkan Copenhagen. FOTO Reuters
HAALAND meledak dua gol ketika membantu City mengalahkan Copenhagen. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pemain tengah Manchester City, Jack Grealish mengakui tidak pernah melihat situasi seorang pemain terus-menerus meledak gol tanpa henti apabila mereka membelasah FC Copenhagen 5-0 dalam saingan Liga Juara-Juara pagi tadi.

Erling Haaland hanya memerlukan 45 minit untuk meledak dua gol bagi meneruskan permulaan cemerlangnya bersama City ketika mereka membelasah Copenhagen.

"Saya tidak pernah menyaksikan perkara seperti ini dalam hidup saya.

"Untuk gol pertama dan kedua saya hanya ketawa. Saya tertanya-tanya bagaimana dia melakukannya?. Dia sentiasa berada di sana.

"Penjaga gol mereka berkata kepada saya dia bukannya manusia," kata Grealish.

Haaland sekarang ini meledak 19 gol dalam 11 aksi kompetitif dengan City dan peluangnya terhalang untuk melakukan hatrik kali keempat dalam lima perlawanan di laman sendiri selepas direhatkan pada separuh masa kedua oleh Pep Guardiola.

City mendahului 3-0 sebelum rehat, selain dua gol disumbangkan pemain antarabangsa Norway itu David Khocholava pula tertampan bola ke gawang sendiri hasil rembatan Sergio Gomez.

Riyad Mahrez mengambil peluang selepas ketiadaan Haaland untuk meledak gol pertamanya menerusi sepakan penalti sebelum Julian Alvarez mengesahkan kemenangan City dengan jaringan kelima.

Selepas mengumpul mata maksimum daripada tiga perlawanan, City sebelah kaki ke pusingan 16 terakhir dan boleh mengesahkan kemaraan dengan baki dua perlawanan sekiranya mereka menang di ibu negara Denmark itu minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 11:33 AM