PENYERANG Norway, Erling Haaland dijangka menjadi peledak berbisa Manchester City, musim ini. FOTO Agensi
PENYERANG Norway, Erling Haaland dijangka menjadi peledak berbisa Manchester City, musim ini. FOTO Agensi
AFP

London: Penyerang Manchester City, Erling Haaland akan berdepan penyerang Liverpool, Darwin Nunez apabila dua seteru Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menampil dua senjata mahal mereka pada aksi Perisai Komuniti, esok.

Menjelang aksi pembuka tirai musim baharu EPL, tekanan kini dihadapi Haaland dan Nunez untuk membuktikan prestasi sesuai dnegan tanda harga mahal mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Gandingan pencetak gol itu berharga lebih £100 juta pada ketika persengketaan City dan Liverpool berterusan.

Banyak perubahan di City dan Liverpool sejak anak buah Pep Guardiola mengekalkan trofi EPL dengan kelebihan satu mata selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa pada hari terakhir musim lalu.

Gelaran keempat City dalam tempoh lima musim itu hasil prestasi konsisten mereka, tetapi personaliti Guardiola yang mahukan kesempurnaan menyebabkan dia tidak berdiam diri sahaja.

Guardiola menjual Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko kepada Arsenal, manakala Raheem Sterling menyertai Chelsea dan Fernandinho kembali ke Athletico Paranaense.

Menyedari kejayaan City musim lalu dihasilkan walaupun tiada penyerang tengah semulajadi, Guardiola berbelanja besar apabila mendapatkan bintang muda Eropah iaitu penyerang antarabangsa Norway, Haaland dari Borussia Dortmund dengan harga £51 juta (RM276.12 juta).

Selepas gagal mendapatkan Harry Kane dari Tottenham, 12 bulan lalu, Guardiola berharap Haaland dapat meneruskan aksi prolifik di Dortmund untuk menyerlah di EPL yang lebih mencabar.

Kemampuan penyerang berusia 22 tahun itu menyesuaikan diri dengan bakat kreatif City akan menjadi kunci utama untuk mempertahankan gelaran.

Petanda awal positif adalah Haaland hanya memerlukan 12 minit untuk menjaringkan gol sulung pada penampilan pertama City pada perlawanan persahabatan menentang Bayern Munich.

"Seperti yang anda mungkin tahun, saya banyak menyaksikan perlawanan City sejak beberapa tahun lalu," kata Haaland.

"Tahun lalu, mereka tiada penyerang sejati, jadi sudah tentu saya meletakkan diri saya dalam situasi seperti itu. Saya tidak terkejut, kualiti pasukan memang bagus."

Pada ketika City akan memulakan musim sebagai pasukan pilihan, anak buah Jurgen Klopp bangkit pada babak kedua musim lalu dengan memburu empat gelaran.

Bagaimanapun, Liverpool kecewa apabila City menang EPL dengan kelebihan satu mata manakala Real Madrid menewaskan mereka 1-0 di final Liga Juara-Juara Eropah.

Menewaskan Chelsea menerusi sepakan penalti di final Piala FA dan Piala Liga akhirnya menjadi sagu hati buat Klopp musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 11:20 AM