AKSI Lowry (tengah) malam tadi. FOTO Bernama
AKSI Lowry (tengah) malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal kehilangan 'kereta kebal' di bahagian pertahanan apabila tonggak importnya, Shane Lowry disahkan patah siku pada aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC, malam tadi.

Berita sedih itu disahkan JDT di laman Facebook rasmi kelab terbabit, dengan pemain tinggi lampai itu akan menjalani pembedahan di Johor Bharu, hari ini.

"Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim mendoakan Shane Lowry agar segera sembuh ekoran patah siku akibat perlanggaran pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman malam tadi.

"Beliau akan menjalani pembedahan di Johor Bahru hari ini. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda, Shane. Semoga lekas sembuh!," kata kenyataan kelab itu.

Dengan pengesahan itu, Lowry terpaksa diketepikan dalam baki tiga aksi Liga Super selain tidak dapat beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula hujung bulan ini.

Terdahulu, dalam aksi di Stadium Darul Aman itu, bekas pertahanan Leeds United dan Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris itu bertembung dengan pemain Kedah, Mohamad Al Hafiz Harun di babak kedua hingga menyaksikan dia terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan di bahagian tangan.

Walaupun JDT beraksi tanpa khidmat Lowry dan serta bermain hanya 10 orang ekoran layangan kad merah diterima Bergson, skuad Harimau Selatan tetap berjaya melakar kemenangan 3-1 dalam aksi itu.

Ketiadaan Lowry, dijangka diisi tonggak pertahanan berpengalaman Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 2:52 PM