PEMAIN Johor Darul Ta'zim meraikan jaringan gol pertama pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC  di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Johor Darul Ta'zim meraikan jaringan gol pertama pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya membalas dendam kekalahan lalu selepas melakar kemenangan tipis 1-0 menundukkan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan menjarakkan lagi kedudukan dengan 54 mata manakala skuad Penyu kekal dengan 37 mata di tempat ketiga liga.

Walaupun tewas, peluang TFC untuk mengintai peluang menamatkan kedudukan di tangga kedua liga masih terbuka selepas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 1-2.

Pada perlawanan itu, skuad kendalian Benjamin Mora bermula garang apabila mendapat peluang pertama menerusi sepakan percuma bekas pemain T-Team, Safawi Rasid pada minit ketiga yang bijak dibaca penjaga gol, Suhaimi Husin.

Pada minit ke-12, Safawi mendapat peluang kedua untuk mencetak nama sebagai penjaring, tapi sekali lagi penjaga gol bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain kelahiran Dungun itu.

Ketika skuad Harimau Selatan kerap mengasak, pemain pertahanan skuad Penyu, Argzim Redzovic berjaya meledak gol menerusi tandukan hasil sepakan percuma Lee Tuck pada minit ke-18, namun pengadil, Mohd Nasrol Mohd Amir membatalkan jaringan berkenaan kerana pemain itu terlebih dahulu ofsaid sekali gus melegakan kem JDT.

Empat minit berselang, Redzovic sekali lagi berpeluang untuk menyumbat gol juga menerusi tandukan hasil sepakan percuma Tuck yang terbias pertahanan pelawat.

Pemain muda yang menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu JDT pada aksi pusingan pertama, Hakimi Abdullah juga berpeluang untuk melakukan jaringan menerusi rembatan kencang pada minit ke-44, tapi penjaga gol, Farizal Marlias berjaya menepis percubaan pemain itu.

Ketika aksi babak pertama dijangka berkesudahan tanpa jaringan, pemain pertahanan, Shane Lowry mudah menolak masuk gol pertama pasukannya pada masa kecederaan untuk mendahului 1-0.

Jaringan itu terhasil selepas bola tepisan penjaga gol hasil rembatan Akhyar Rashid singgah di kaki Lowry sebelum pemain kelahiran Australia itu meledak jaringan pertamanya musim ini.

Sepanjang babak pertama, pendahulu penjaring terbanyak Liga Super, Bergson Da Silva gagal bergerak bebas selepas dikawal ketat pemain pertahanan skuad kendalian Nafuzi Zain dalam aksi yang berintensiti tinggi itu.

Bersambung babak kedua, pelawat melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Syafiq Rahim dan Mohamadou Sumareh bagi menggantikan Syamer Kutty Abba dan Akhyar untuk menghidupkan lagi jentera tengah pasukan.

Tuan rumah yang terdesak untuk menyamakan kedudukan terutama tanpa kehadiran penyerang importnya, David Da Silva yang tidak diturunkan juga melakukan pertukaran dengan memasukkan Rahmat Makasuf bagi menggantikan Hakimi, namun masih buntu mencipta jaringan.

Pada minit ke-72, Bergson nyaris mencipta jaringan kedua pasukannya dan ke-24 peribadinya musim ini, tapi bola tandukannya hasil hantaran Safawi terkena tiang dan susulan yang dilakukan Syafiq berjaya ditangkap penjaga gol untuk keputusan kekal memihak kepada JDT 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 11:19 PM