BERGHUIS (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
BERGHUIS (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Paris: Belanda melakar kemenangan pertama pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan menewaskan Latvia 2-0 di Amsterdam hari ini namun Turki mengungguli Kumpulan G selepas mempamer aksi meyakinkan menewaskan Norway.

Turki yang menewaskan Belanda 4-2, Jumaat lalu sudah melakar dua kemenangan daripada dua perlawanan dan berjaya mengatasi cabaran sensasi Norway, Erling Braut Haaland pada perlawanan yang berlangsung di Malaga, Sepanyol.

Belanda di bawah bimbingan Frank de Boer memberikan keceriaan kepada 5,000 penonton yang dibenarkan menyaksikan perlawanan di Johan Cruyff Arena selepas Steven Berghuis menjaringkan gol pertama minit ke-32 dan Luuk de Jong menambah gol kedua pada separuh masa kedua.

"Kami sedar perbezaan jaringan gol amat penting pada kempen kelayakan," kat De Boer yang turut menyaksikan percubaan De Jong dan Davy Klaassen terkena palang gol.

"Kami berhak untuk menang sekurang-kurangnya dengan lima gol. Kami mencuba sehabis baik."

Perlawanan itu juga menyaksikan Stephanie Frappart dari Perancis muncul pengadil wanita permata mengendalikan perlawanan pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Belanda gagal layak ke saingan Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 namun menjadi antara pasukan pilihan pada kempen Euro 2020 yang ditangguhkan kepada tahun ini.

Sementara itu pemain tengah Fenerbahce, Ozan Tufan meledak dua gol ketika membantu Turki melakar kemenangan 3-0 ke atas Norway.

Pertahanan Leicester, Caglar Soyuncu turut menjaringkan gol.

"Tahun lalu kami layak beraksi di Euro 2020 dan kini kami sedang berusaha untuk layak ke Piala Dunia," kata Soyuncu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 7:58 AM