GONZALEZ (kanan) meraikan gol pertamanya bersama pasukan Kedah pada musim ini pada aksi menentang Selangor FC pada 14 September lalu. FOTO Ihsan KDA FC
GONZALEZ (kanan) meraikan gol pertamanya bersama pasukan Kedah pada musim ini pada aksi menentang Selangor FC pada 14 September lalu. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail

Alor Setar : Pemain import posisi pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Marc Vales Gonzalez yakin benteng Kedah dapat terus dikukuhkan dalam misi menentang PJ City untuk aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sabtu ini.

Bagi kapten kapten skuad kebangsaan Andorra berusia 32 tahun ini, Sang Kenari kini sudah meningkatkan kualiti pertahanannya dan ini dibuktikan melalui rekod empat perlawanan tanpa tewas sejak bertemu Sabah FC, Penang FC, Melaka United dan Selangor FC.

Posisi pertahanan tengah yang digalasnya samada bersama pemain tempatan Rodney Celvin atau Akmal Zahir telah menampakkan impak keserasian yang diperlukan Sang Kenari dalam misi meneruskan baki lima perlawanan terakhir Liga Super musim ini dalam misi meletakkan Sang Kenari pada kelompok lima pasukan terbaik.

"Kami mahu beraksi dengan kekuatan benteng yang sebenar di ruang pertahanan dan saya sangat berharap kami dapat mengukuhkan lagi kedudukan itu dengan lebih baik berbanding perlawanan-perlawanan yang kami telah lalui sebelum ini.

"Kami kini lebih bermotivasi selepas berjaya memenangi tiga aksi perlawanan berturut-turut sebelum ini dan momentum berkenaan dilihat cukup baik untuk kami dalam meneruskan misi pada musim ini dan itulah yang Kedah wajib kekalkan.

"Sudah pasti kami mahu memburu kemenangan sekali lagi di laman sendiri seterusnya dan hanya kutipan mata kemenangan dapat menentukan kami berada di posisi terbaik hingga hujung liga nanti," katanya yang ditemui selepas menjalani latihan harian.

Gonzalez yang baru sahaja pulang dari Eropah selepas melengkapi dua perlawanan antarabangsa mewakili negaranya Andorra di Liechtenstein dan pada 23 serta 25 September lalu, juga berkata, dia telah kembali bekerja keras selepas pulih dari kecederaan kakinya bagi memastikan sumbangan aksinya mencapai tahap yang terbaik seperti yang diharapkan Sang Kenari."

"Saya tahu ramai dikalangan penyokong Kedah yang sangat risau dengan kelemahan yang ada di ruang pertahanan yang menyebabkan pasukan terpaksa bergelut untuk mencapai kemenangan dan juga telah tewas besar pada aksi perlawanan beberapa bulan yang lalu.

"Namun kini saya telah mula kembali bersama pasukan dan saya juga sedang bekerja keras selepas pulih dari kecederaan yang saya alami di awal musim ini, dan saya akan beri aksi yang terbaik dengan harapan agar penyokong kembali meningkatkan semangat mereka untuk pasukan," katanya lagi.

Gonzalez juga turut mencetak gol peribadinya yang pertama bersama Sang Kenari pada musim ini ketika aksi di laman sendiri menentang Selangor FC yang berkesudahan KDA FC menang 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 3:14 PM