VALES (tengah) harap pemain Sang Kenari bangkit pada aksi pertama Piala Malaysia menentang NSFC di Stadium Darul Aman Rabu ini. FOTO Ihsan KDA FC
VALES (tengah) harap pemain Sang Kenari bangkit pada aksi pertama Piala Malaysia menentang NSFC di Stadium Darul Aman Rabu ini. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Marc Vales bertekad mengukuhkan benteng Sang Kenari pada aksi perlawanan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman rabu ini.

Bagi pemain kebangsaan Andorra berusia 32 tahun ini, setiap kesilapan lalu perlu diatasi dengan sebaiknya bagi memastikan keupayaan benteng Sang Kenari dapat dikembalikan pada tahap yang dirancangkan di bawah kendalian Pemangku Ketua Jurulatih Victor Andrag.

"Kami tiada pilihan lain selain mengatasi setiap masalah serta kelemahan yang kami lalui sebelum ini dalam usaha mengukuhkan semula benteng kami pada saingan Piala Malaysia kali ini.

"Sebaik tamat saja Liga Super, kami terus berkerja keras bagi memastikan masalah yang dihadapi tidak lagi berulang bila menyaksikan Kedah telah banyak kali bolos dengan begitu mudah.

"Melalui kendalian pemangku ketua jurulatih Victor Andrag, saya nampak pemain meletak harapan yang tinggi dalam kendaliannya (Victor) bagi mencorakkan kekuatan benteng Kedah pada tahap yang diharapkan," katanya.

Vales juga berkata medan Piala Malaysia yang dianggap cukup berprestij di Malaysia ini akan memberi peluang terbaik buat semua pemain untuk memperkemas dan meningkat lagi mutu dan tahap permainan masing-masing.

"Selepas melalui cabaran serta pengalaman dalam Liga Super lalu, saya yakin pemain sudah mengambil begitu banyak iktibar dan panduan dalam menyusun semula setiap perancangan yang akan dilakukan dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

"Perlawanan pertama di laman sendiri rabu ini pula merupakan peluang terbaik dan wajib dimanfaatkan buat barisan pertahanan untuk membuktikan keupayaan kami di hadapan penyokong sendiri selain membina semula keyakinan melalui langkah pertama dalam saingan ini sebelum sekali lagi pertemuan pada 1 November depan di tempat lawan.

"Sudah pasti kami mahukan bekalan motivasi yang perlu kami bekalkan bagi meneruskan aksi kami di tempat lawan selepas perlawanan ini," katanya.

Kedah mengikat NSFC tanpa jaringan pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada 17 Mei lalu dan tewas 3-4 ketika perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi pada 8 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 2:17 PM