ATIQ (kiri) cemerlang dalam saingan Liga Perdana dan Sukma.
ATIQ (kiri) cemerlang dalam saingan Liga Perdana dan Sukma.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Aksi bertenaga pemain sayap pasukan bola sepak Terengganu, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid sepanjang kempen Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20, menarik perhatian gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain yang boleh beraksi di kedua-dua sayap kiri dan kanan serta penyerang itu sebelum ini membantu Terengganu FC II (TFC II) menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan keempat musim ini.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang memaklumkan pemain berusia 21 tahun itu kini sedang dirisik skuad Harimau Selatan.

Beliau berkata, perbincangan lanjut masih diteruskan antara kedua-dua kelab selain keluarga serta pemain itu sendiri sebelum keputusan muktamad dibuat kerana dia masih mempunyai kontrak bersama Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sehingga November ini.

"Saya mendapat tahu pemain itu (Atiq) dirisik kelab JDT daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Kemaman, Hanafiah Mat beberapa hari lalu.

"Beliau (Hanafiah) meminta pandangan saya selepas ibu bapa Atiq meminta pandangan daripada ADUN Chukai itu selepas Atiq dirisik kelab JDT untuk diserapkan dalam pasukan mereka musim depan.

"Saya fikir ini sesuatu yang positif buat pemain berasal dari Kemaman itu untuk kembangkan lagi karier bola sepaknya terutama di pentas Asia selepas cemerlang membantu pasukan negeri.

"Bagaimanapun setakat ini saya belum pasti tahap rundingan berkenaan. Namun yang pasti pemain yang membantu Terengganu dalam temasya Sukma minggu lalu itu kini sedang dirisik JDT untuk mendapatkan khidmatnya musim depan," katanya ketika dihubungi.

Jika benar JDT mahukan khidmat pemain versatil itu, ianya menjadi pemain ketiga kelahiran Terengganu 'dirantai' gergasi itu selepas pemain tengah, Safawi Rasid dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Terdahulu bekas penyerang skuad kebangsaan Bawah 19 Tahun (B-19) itu berjaya membantu pasukannya menamatkan kemarau 12 tahun lalu selepas merangkul 'ibu segala pingat' dalam temasya Sukma sesudah menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 23 September lalu.

Sepanjang kempen Sukma itu, pemain kelahiran Felda Cherul, Kemaman berjaya menyumbat tiga gol selain menjadi tonggak utama skuad kendalian Badrul Afzan Razali dan pembantunya, Roshadi Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 2:05 PM