ATIQ akui teruja sertai JDT. FOTO TFC
ATIQ akui teruja sertai JDT. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid akui terkejut selepas mendapat tahu dirinya 'dilamar' gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi memperkuatkan pasukan itu dalam saingan liga musim depan.

Pemain versatil itu yang membantu Terengganu merangkul 'ibu segala pingat 'dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Lembah Klang, minggu lalu melihat ia sebagai perkembangan positif buatnya untuk mengembangkan lagi kariernya bersama skuad Harimau Selatan itu.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kemaman berusia 21 tahun itu belum lagi membuat keputusan muktamad sama ada bakal berhijrah bersama skuad JDT ataupun terus kekal dibumi Darul Iman.

"Sejujurnya saya terkejut mendengar tawaran daripada pasukan JDT lebih-lebih lagi skuad kendalian Hector Bidoglio itu adalah pasukan terbaik dalam saingan Liga M terutama selepas melakar kejuaraan Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut.

"Namun sekiranya benar, saya begitu teruja dan gembira serta berterima kasih kepada pihak pengurusan pasukan itu terutama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana ia pasti mampu kembangkan lagi karier bola sepak saya bersama pasukan gergasi liga M itu.

"Tapi setakat ini saya belum lagi membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu kerana perlu berbincang lebih lanjut terlebih dahulu dengan majikan saya serta keluarga.

"Selain itu dengan berbaki kontrak sehingga November depan bersama TFC II, saya juga mahu fokus bersama pasukan walaupun Liga Perdana sudah melabuhkan tirainya pada 17 September lalu," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya adakah tawaran itu yang pertama diterimanya, bekas pemain skuad kebangsaan Bawah 19 Tahun (B-19) dan pelatih skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu menjelaskan ia tawaran kali ketiga diterima daripada pasukan Harimau Selatan itu.

"Ketika berusia 18 tahun, saya pernah mendapat tawaran daripada pasukan itu (JDT), tapi saya menolaknya secara baik kerana belum bersedia, begitu juga setahun kemudian saya mendapat tawaran daripada JDT, tapi juga belum bersedia ketika itu.

"Jadi jika benar tawaran itu hadir lagi, saya akan fikir sedalam-dalamnya, tapi setakat ini saya belum mahu membuat keputusan muktamad lagi berhubung perkara itu," katanya yang turut mendapat tawaran daripada pasukan lain dalam mengharungi kancah Liga M musim depan.

Akhbar ini semalam melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mendedahkan pemain yang boleh beraksi di posisi sayap kiri dan kanan serta penyerang itu dirisik kelab JDT.

Beliau menjelaskan, aksi bertenaga dipamerkan pemain kelahiran Felda Cherul, Kemaman itu dalam temasya Sukma baru-baru ini berjaya menarik minat barisan kejurulatihan JDT untuk mengikat pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:43 PM