PEMAIN Barcelona ketika sesi latihan di Munich semalam. FOTO EPA
PEMAIN Barcelona ketika sesi latihan di Munich semalam. FOTO EPA
Reuters

Munich: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez tidak memperdulikan tanggapan beraksi di Bayern Munich seperti berkunjung ke 'rumah berhantu' menjelang pertembungan getir kedua-dua pasukan dalam aksi Kumpulan C Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Mereka bertemu pada peringkat kumpulan musim lalu dengan gergasi Jerman menang dua kali dengan 3-0.

Namun kali ini Barca adalah skuad berbeza yang diterajui penyerang Robert Lewandowski yang berpindah ke Nou Camp dari kelab Bavaria itu pada penutup musim.

Barcelona tidak pernah menang di Bayern yang menang empat aksi terakhir mereka dengan jumlah keseluruhan jaringan 17-4 termasuk kemenangan 8-2 pada suku akhir 2020.

Walaupun tahu tugas getir menantinya, Xavi berkata mereka tidak takut berkunjung ke Munich.

"Saya tidak akan menggelarnya rumah hantu, ia hanyalah padang Bayern," kata Xavi.

"Ya saya akui kami tak pernah menang di Allianz dan ini menunjukkan betapa sukar tempat ini tetapi kami tetap optimis.

"Kami tak boleh terlalu yakin walaupun memperolehi keputusan baik akhir-akhir ini. Kami perlu ingat apa berlaku tahun lalu tetapi saya akan gembira jika kami dapat beraksi tahap sebenar. Saya yakin kami menang dan mengubah sejarah."

Kelab Sepanyol berkunjung ke Munich dengan skuad terbaik selepas merehatkan Jules Kounde, Eric Garcia, Pedri, Ousmane Dembele dan Lewandowski ketika menewaskan Cadiz 4-0 Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 8:37 AM