AKSI Lewandowski bersama Barcelona. FOTO AFP
AKSI Lewandowski bersama Barcelona. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Jurulatih Barcelona, ​​Xavi Hernandez memuji penyerang Robert Lewandowski kerana membantu mengubah mentaliti di kelab itu.

Pasukan Catalan itu lapan mata di depan pesaing terdekat, Real Madrid di puncak La Liga dan menewaskan Los Blancos di Arab Saudi untuk memenangi Piala Super Sepanyol, bulan lalu.

Musim lalu, Barcelona gagal memenangi trofi tetapi suasana berubah pada musim panas apabila kelab itu membawa masuk beberapa pemain, termasuk bekas penyerang Bayern Munich, Lewandowski.

"Lewandowski sudah terbiasa memenangi kejuaraan bersama Bayern. Dia membawa kepada kami mentaliti kemenangan itu, mentaliti juara.

"Dalam kepalanya, kalah bukanlah satu pilihan," kata Xavi kepada media.

Pemain antarabangsa Poland berusia 34 tahun itu sudah menjaringkan 23 gol dalam 26 perlawanan musim ini untuk Barca.

Barcelona boleh melebarkan jarak mereka ke atas Madrid jika menang di Villarreal awal pagi Isnin sebelum Real di bawah bimbingan Carlo Ancelotti berdepan Elche awal pagi Khamis kerana penyertaan mereka di Piala Dunia Kelab.

"Setiap perlawanan adalah penting lebih-lebih lagi pada peringkat sekarang. Kami mempunyai kelebihan lapan mata. Esok kami berpeluang melebarkannya kepada 11 mata," kata Xavi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 9:47 PM