LEWANDOWSKI tersisih aksi suku akhir. FOTO AFP
LEWANDOWSKI tersisih aksi suku akhir. FOTO AFP
AFP

Berlin: Juara bertahan Bayern Munich berdepan ujian getir mempertahankan mahkota Liga Juara-Juara tanpa penjaring terbanyak, Robert Lewandowski ketika menentang Paris Saint Germain di tempat sendiri Khamis ini.

Kecederaan lutut memaksa Lewandowski tersisih kedua-dua aksi suku akhir di Allianz Arena dan Paris pada Selasa depan.

Bagaimanapun, Bayern membuktikan mereka masih mampu menang perlawanan besar tanpanya.

Leon Goretzka meledak gol kemenangan 1-0 ke atas pasukan di tangga kedua, RB Leipzig Sabtu lalu bagi membolehkan Bayern melonjak tujuh mata di puncak Bundesliga.

"Jelas, mereka lebih baik dengan Lewandowski," kata jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann. "Tetapi mereka memiliki pasukan bertaraf dunia dan pemain hebat menggantikan tempatnya."

Selepas berdepan Leipzig, pengganti Lewandowski, Eric Maxim Choupo-Moting dijangka beraksi dalam kesebelasan utama buat kali ketiga dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini menentang bekas kelabnya.

Pemain berusia 32 tahun dari Cameroon itu meninggalkan PSG selepas menjadi pemain gantian ketika menentang Bayern pada final tahun lalu.

PSG pula berdepan masalah sendiri, di dalam mahupun di luar padang.

Bintang Brazil, Neymar dibuang padang ketika tewas 0-1 di tempat sendiri kepada Lille yang merampas kedudukan pendahulu Ligue 1 pada Sabtu lalu.

Kylian Mbappe yang meledak empat gol ketika menewaskan Barcelona dalam saingan 16 terakhir dijangka bergandingan dengan Neymar di bahagian serangan.

Covid-19 menghantui skuad PSG apabila kedua-dua pertahanan, Alessandro Florenzi dan tonggak tengah didapati positif.

Tetapi pertahanan PSG dari Jerman, Thilo Kehrer yang dijangka mengisi tempat Florenzi berkata, mereka bertekad membalas dendam kekalahan 0-1 pada final musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 9:13 AM