LEWANDOWSKI menjadi tonggak penting Barcelona. FOTO AP
LEWANDOWSKI menjadi tonggak penting Barcelona. FOTO AP
AFP

Barcelona: Robert Lewandowski sudah membuktikan bahawa selama ini dia mampu meledak gol selagi mendapat bola.

Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez sedang mencari jawapan terhadap masalah itu berikutan prestasi pasukannya merudum pada waktu yang salah ketika menanti kehadiran Inter Milan dan akan bertemu Real Madrid pada aksi Clasico minggu ini.

Kelab dari Itali itu akan berkunjung ke Camp Nou awal pagi Khamis ini bagi perlawanan penting Liga Juara-Juara sebelum Barca ke Santiago Bernabeu dalam usaha untuk terus berada di persada La Liga.

Selain pasukan yang bergelut selepas kalah 0-1 kepada Inter minggu lalu dan menang tipis 1-0 mengatasi Celta Vigo pada Ahad, jaringan Lewandowski juga terhenti.

"Kami tidak berada dalam situasi terbaik sejak rehat perlawanan antarabangsa. Tiga minggu lalu kami bagus, kini tidak, kami perlu memperbaikinya," kata Xavi Ahad lalu.

Gol jaringan Lewandowski yang kesembilan dalam La Liga, menjadikannya penjaring terbanyak setakat ini dan membantu Barcelona ke persada liga pertama kali sejak Jun 2020.

Skuad dari Catalan itu tidak tewas dalam aksi liga utama Sepanyol, tetapi cerita berbeza dipamerkan di Eropah.

Kalah berturut-turut ketika berdepan Bayern Munich dan Inter menyebabkan mereka perlukan kemenangan awal pagi Khamis ini.

Mungkin sedikit membimbangkan ialah ketika Lewandowski tidak mensia-siakan peluang dalam tiga aksi sebelum ini, rakan sepasukan tidak cukup memberikannya hantaran sempurna kepadanya.

Penyudah tepat penyerang Poland itu memberikan Barcelona kemenangan 1-0 mengatasi Mallorca pada 1 Oktober tetapi peluang itu diciptanya sendiri.

"Dia tidak selesa pada babak kedua (berdepan Celta) tetapi pasukan juga berdepan masalah sama. Kami perlu lebih banyak membantunya," kata Xavi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 11:11 AM