LEWANDOWSKI meraikan kemenangan Barcelona menewaskan Viktoria Plzen. -FOTO EPA
LEWANDOWSKI meraikan kemenangan Barcelona menewaskan Viktoria Plzen. -FOTO EPA
AFP

Barcelona: Robert Lewandowski meledak hatrik pertamanya di Liga Juara-Juara bersama Barcelona yang menyaksikan skuad kendalian Xavi Hernandez membelasah Viktoria Plzen 5-1 di Camp Nou.

Barca yang gagal melepasi peringkat kumpulan musim lalu turut menyaksikan Franck Kessie dan Ferran Torres menjaring gol dalam aksi mengagumkan pasukan itu.

Lewandowski kini sudahpun menjaringkan lapan gol dalam lima penampilan bersama pasukan barunya itu di semua pertandingan.

"Saya tahu sejak awal lagi adalah penting untuk menyesuaikan diri dari perlawanan pertama lagi," katanya.

"Hari ini adalah hari lahir isteri saya jadi gol ini adalah untuk dia. Melihat dia berada di stadium pada hari lahirnya sangat bermakna. Sesuatu yang menakjubkan untuk saya."

Bagaimanapun ujian lebih getir menanti juara Eropah lima kali itu dengan Bayern Munich dan Inter Milan turut berada dalam Kumpulan C.

Gergasi Catalan akan berkunjung ke Allianz Arena Selasa depan akan berdepan ujian sebenar sejauh mana mereka melangkah dalam tempoh 12 bulan terakhir selepas Bayern turut melakar kemenangan 2-0 di San Siro.

Barca mendahului pada minit ke-13 menerusi Kassie selepas Jules Kounde menanduk bola sepakan sudut Ousmane Dembele yang melintasi gawang.

Ia adalah gol pertama pemain tengah Ivory Coast itu untuk kelab sejak menandatangani kontrak dari AC Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 8:51 AM