FARIZAL tidak beraksi pada final 2016.
FARIZAL tidak beraksi pada final 2016.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Impian penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) Farizal Marlias untuk beraksi kali pertama di pentas final Piala FA menjadi kenyataan apabila namanya disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan menentang Terengganu FC (TFC).

Pemain berusia 36 tahun itu sebelum ini 'berputih mata' untuk beraksi di pentas final Piala FA pada 2016 yang menyaksikan JDT menumpaskan PKNS 2-1.

Sepanjang karier pemain berkenaan dalam arena bola sepak negara, Farizal belum pernah lagi beraksi di pentas final Piala FA sekali gus malam ini menjadi detik bersejarah buat pemain berkenaan.

Selain itu, tonggak import TFC, Kpah Sherman pula tidak berada dalam senarai pemain, besar kemungkinan pemain terbabit masih lagi belum daripada kecederaan.

Setakat ini, lebih 80,000 penyokong kedua-dua pasukan sudah membanjiri stadium sejak pintu mula dibuka jam 6 petang tadi.

Malah, tiket yang diperuntukan sebanyak 78,000 membabitkan kedua-dua pasukan juga sudah habis terjual.

Seperti dijangka, aksi final Piala FA 2022 membabitkan TFC dan JDT malam ini sememangnya menepati status sebagai pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan.

Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan sorakan daripada kedua-dua pasukan seperti melepaskan geram selepas dua tahun aksi Piala FA dibatalkan akibat Covid-19.

Kemeriahan dapat disaksikan terutama warna jersi yang digunakan oleh kedua-dua penyokong iaitu hitam putih bagi TFC manakala biru merah untuk penyokong JDT.

Kehadiran penyokong tegar TFC dan JDT, 'Ultras Tranung' dan 'Boys of Straits' menambah lagi 'rencah' dengan pelbagai laungan kata kata semangat untuk membakar semangat pasukan yang disokong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 8:51 PM