WAN Jamak meramalkan aksi yang diwarnai dengan corak permainan berintensiti tinggi akan selesai dalam tempoh 90 minit permainan. FOTO NSTP
WAN Jamak meramalkan aksi yang diwarnai dengan corak permainan berintensiti tinggi akan selesai dalam tempoh 90 minit permainan. FOTO NSTP
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan optimis Johor Darul Ta'zim (JDT) di bawah bimbingan Esteban Solari mampu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut.

Beliau berkata, JDT memiliki barisan pemain yang berkualiti dan mampu untuk menewaskan Terengganu FC (TFC) yang di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner apabila kedua-dua pasukan bertembung pada pentas final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat.

Malah beliau yang juga bekas pemain kebangsaan dan pernah beraksi selaku pemain dan membimbing Johor ketika era 70an dan 80an meramalkan aksi yang diwarnai dengan corak permainan berintensiti tinggi akan selesai dalam tempoh 90 minit permainan.

"Saya buat ramalan ini bukan sebab saya orang Johor dan juga bekas pemain Johor…memang banyak bezanya antara 'zaman saya' dengan zaman sekarang ni.

"Sekarang ni, saya lihat terlalu banyak perubahan bagi pasukan Johor atau sekarang JDT sejak TMJ (Tungku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), ambil alih terutamanya dengan pencapaian-pencapaian yang memberangsangkan.

"Bagi saya, tiada masalah untuk JDT mengatasi TFC, tetapi sesiapapun tidak boleh memperkecilkan TFC kerana di atas kertas kelebihan milik JDT, tetapi TFC pasti akan keluar bermain rasanya bukan 100 tapi 200 peratus dan sebenarnya aksi atas padang akan menentukan pemenang kali ini," katanya.

Untuk rekod, Wan Jamak pernah membantu Johor memenangi Piala Malaysia selaku penolong jurulatih pada musim 1985 apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam perlawanan akhir.

Tambah Wan Jamak, faktor pengalaman juga membezakan antara kedua-dua pasukan pada aksi final kali ini yang mana JDT mampu beraksi dalam tekanan dan sentiasa memberi fokus sepanjang 90 minit permainan.

Katanya, JDT lebih banyak didedahkan kepada perlawanan-perlawanan di peringkat Asia apabila beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan menentang pasukan-pasukan bertaraf elit berbanding TFC yang beraksi di dalam kancah Piala AFC yang jelas kualitinya berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 3:26 PM