FARIZAL mengakui tugas berat menantinya menjelang pertembungan menentang TFC pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
FARIZAL mengakui tugas berat menantinya menjelang pertembungan menentang TFC pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias menganggap pemain import Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah cukup berbahaya dan perlu diawasi apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin ini.

Penjaga gol skuad Harimau Selatan itu berkata dia tidak mengenali pemain import TFC selepas dua kali menentang kelab dari Pantai Timur itu apabila Mintah tidak beraksi sebaliknya bermain untuk Terengganu FC II.

"Tapi apa yang saya lihat pada rakaman video Jordan adalah seorang pemain berbahaya di hadapan gol dan sentiasa mencari ruang untuk menjaringkan gol malah dia juga bijak menyudahkan sepakan percuma dan kami harus berhati-hati," katanya.

Mengulas mengenai pertembungan menentang skuad kendalian Nafuzi Zain pada aksi separuh akhir pertama Farizal mengakui TFC adalah pasukan yang mantap pada musim ini namun dalam permainan bola sepak apa jua boleh berlaku tatkala mengetahui kekuatan dan kelemahan skuad Penyu.

"Cara permainan Terengganu tidak jauh beza dengan JDT dan mereka memiliki pemain yang berkebolehan dan teknik permainan yang baik malah pantas untuk melakukan serangan balas yang mampu beri ancaman terhadap benteng kami.

"Justeru kita harus berhati-hati apabila bertandan ke Terengganu bagi mengharungi aksi separuh pertama kerana kami inginkan kemenangan walaupun beraksi di tempat lawan dan apa yang penting barisan pertahanan kami tidak boleh dibolosi.

"Jika Terengganu mencipta jaringan sudah pasti ia beri tekanan buat kami dan seeloknya sasaran kami adalah memburu kemenangan dan apa yang kami tekankan adalah tidak terlalu yakin sebaliknya beraksi seperti biasa bagi mengelak tekanan," katanya.

Apa yang menarik pada pertembungan JDT dan TFC, ia ulangan musim 2018 apabila JDT tersingkir untuk mara ke pentas final selepas tewas 2-3 secara agregat kepada skuad Penyu manakala pada musim 2019, JDT menyingkirkan anak didik Nafuzi yang ketika itu menjadi pengendali sementara dengan agregat 5-1 pada aksi suku akhir.

Farizal juga mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terjebak dengan helah permainan TFC dan sentiasa memberi 100 peratus fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan JDT tumpas pada aksi separuh akhir pertama.

Katanya, pemain TFC seperi Faisal Halim dan Faiz Mansor tampak begitu licik dan perlu diawasi selepas kedua-dua pemain itu begitu menyerlah ketika pasukan itu menewaskan Sarawak United pada aksi suku akhir, Selasa lalu.

"Saya jangkakan ia perlawanan menarik dan mendebarkan kerana sepanjang saingan Liga Super rekod pertemuan kami dan Terengganu seimbang selepas kami pernah tewas dengan mereka pada aksi pusingan liga dan menang pada pusing kedua. Jadi ia ibarat final buat kami," kata Farizal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 10:44 AM