SNBJ mampu menampung 80,000 penyokong JDT dan TFC.
SNBJ mampu menampung 80,000 penyokong JDT dan TFC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 10 September ini.

Ini susulan permohonan MFL untuk menggunakan SNBJ mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas badan pengurusan liga itu serta pihak pengurusan TFC dan JDT membuat pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu bagi final edisi ke-32 Piala FA.

Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ bagi sebarang aktiviti bola sepak bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang dan MFL amat berterima kasih atas kerjasama pihak PSM yang meluluskan permohonan untuk SNBJ digunakan sebagai gelanggang final Piala FA tahun ini.

Dalam membuat pemilihan venue itu, MFL melalui proses panjang untuk menilai kemungkinan beberapa pilihan venue untuk penganjuran Perlawanan Akhir Piala FA 2022.

Bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen yang amat penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam, ruang yang luas di sekeliling stadium akan membolehkan operasi keselamatan untuk puluhan ribu peminat yang akan berada di stadium, sokongan dan bantuan pihak berkuasa tempatan juga diambil kira.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran perlawanan akhir ini.

"Pihak MFL mengadakan perbincangan dengan wakil PSM sebelum ini untuk memeriksa serta mendapat maklumat terkini mengenai keadaan padang SNBJ dan kami dimaklumkan SNBJ bersedia menjadi venue perlawanan akhir Piala FA kali ini.

"Antara elemen menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.

"Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.

"Selain itu, MFL juga menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang SNBJ untuk perlawanan akhir nanti. Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik.

"MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan dan kita sedia maklum SNBJ memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini." katanya. Terdahulu Arena Metro melaporkan venue keramat Harimau Malaya itu 'dibuka sekejap' bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala FA membabitkan Terengganu menentang JDT.

Walaupun tiada kata putus daripada MFL namun desas-desus mengenai perkara terbabit kini bertiup kencang berikutan venue terbabit dilihat paling sesuai untuk mengadakan perlawanan terbabit.

Menurut sumber, walaupun SNBJ ditutup sementara bagi kerja penambahbaikan namun venue terbabit mungkin dibuka sementara bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala FA.

Mengikut rekod, SNBJ mula ditutup bermula 15 Jun lalu bagi memberi laluan kepada kerja penambahbaikan dapat dilaksanakan segera.

Hal ini kerana Stadium Nasional menjadi bahan kritikan selepas ditakungi air ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 membabitkan Malaysia dan Bahrain Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 8:21 PM