PADANG SNBJ kini diselenggara dengan baik.
PADANG SNBJ kini diselenggara dengan baik.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan memastikan permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam keadaan bersedia menjelang final Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC yang dijadual berlangsung 10 September ini.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Faidz Sanusi yang gembira apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memilih SNBJ sebagai venue aksi kemuncak itu.

Jelasnya, gelanggang berkenaan akan dijaga dan diselenggara dengan sebaiknya termasuk tidak akan membenarkan sebarang aktiviti di atas padang itu sehingga aksi final nanti.

Malah katanya, sejak berakhirnya kempen kelayakan Piala Asia pada Jun lalu, pihaknya tidak membenarkan sebarang perlawanan diadakan bagi membolehkan penyelenggaraan padang dilakukan.

"Dalam memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA itu, sudah pasti pihak PSM akan mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan fasiliti di stadium di tahap terbaik termasuk juga keadaan padang.

"Sejak penganjuran pusingan kelayakan Piala Asia Jun lalu, padang SNBJ sudah tidak digunakan untuk sebarang aktiviti bola sepak dan dari semasa ke semasa kita akan menjalankan kerja-kerja penjagaan padang menjelang perlawanan akhir itu nanti," katanya mengulas pengumuman MFL yang memilih venue berkenaan.

Sebelum ini, isu permukaan padang SNBJ menjadi tumpuan pada Kelayakan Piala Asia Jun lalu yang menyaksikan padang berkenaan bertukar menjadi 'bendang' ketika aksi antara skuad Harimau Malaya dan Bahrain.

Ia susulan hujan lebat yang turun sebelum itu hingga menyebabkan permukaan padang dilihat tidak sesuai untuk perlawanan bola sepak, malah berisiko besar mendapat kecederaan.

Ekoran isu itu, kritikan demi kritikan dilontarkan peminat yang mempertikaikan kemudahan dan fasiliti di SNBJ hingga memaksa PSM menutup sementara bagi membolehkan proses penyelenggaraan dijalankan.

Faidz berkata, SNBJ sudah bersedia untuk menyambut hampir 80,000 penyokong kedua-dua pasukan pada hari perlawanan itu nanti.

"Ini berita amat baik bukan sahaja kepada PSM selaku tuan rumah malah buat semua penyokong JDT dan Terengganu FC yang akan hadir untuk merasai bahang final Piala FA di SNBJ.

"Bagi pihak PSM kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan MFL bagi penganjuran perlawanan akhir ini yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama SNBJ sebagai hab sukan terbaik negara," katanya.

Terengganu mara ke pentas final selepas menewaskan Selangor FC, manakala JDT pula menundukkan Penang FC sekali gus dianggap antara final idaman dengan masing-masing memiliki limpahan pemain berbakat dan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:46 PM