GABRIEL Peres menjaringkan gol kemenangan Sabah FC. FOTO MOHD ADAM ARININ
GABRIEL Peres menjaringkan gol kemenangan Sabah FC. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) mempunyai peluang yang seimbang untuk mencipta gol kemenangan pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, ia berdasarkan situasi berbalas gol di antara kedua-dua pasukan pada separuh masa kedua sebelum akhirnya Sabah berpeluang mencipta gol kemenangan 3-2 pada minit akhir permainan.

Katanya, walaupun KL City menunjukkan permainan yang berkesan pada babak pertama, namun Sabah berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi menyebabkan permainan terikat seri tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama perlawanan.

"Kita tahu KL City bukan satu pasukan mudah di mana mereka bermain mengikut corak permainan yang begitu efektif dan kita gagal mendapatkan peluang.

"Walaupun tidak mendapat peluang tetapi kita tidak dibolosi pada separuh masa pertama, jadi ini memberi ruang kepada kedua-dua pasukan untuk mendapatkan jaringan dan itu berlaku pada separuh masa kedua.

"Pada mulanya kita mendahului dan selepas itu kita ketinggalan, jadi kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang, tetapi kita menunjukkan sikap positif hingga minit terakhir," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, skuad Sang Badak berjaya mengutip tiga mata penuh apabila pemain importnya, Gabriel Peres berjaya mencipta gol ketiga untuk Sabah pada minit ke-89 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 bermula pada minit ke-78.

Sabah memulakan jaringan melalui Stuart John Wilkin sekali gus mendahului permainan dengan 1-0 pada minit ke-50, sebelum disamakan 1-1 oleh pasukan lawan melalui Romel Morales sembilan minit kemudian.

Pemain KL City kemudian berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-70 melalui Muhammad Haqimi Azim Rosli, menjadikan pasukan pelawat di hadapan dengan kedudukan 2-1, namun Kapten Sabah FC, Park Taesu berjaya menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-78 sebelum Gabriel memberi gol kemenangan pada minit ke-89.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 11:50 AM