RIZAL (tengah) meraikan jaringannya. FOTO MOHD ADAM ARININ
RIZAL (tengah) meraikan jaringannya. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC layak ke suku akhir Piala Malaysia 2023 selepas mengatasi Kuching City FC dengan agregat 4-1 setelah tamat perlawanan timbal balik pusingan 16 di Stadium Likas, malam ini.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 malam ini, namun Kuching City ketinggalan dengan agregat agak besar selepas tewas 0-3 dalam aksi pertama di Stadium Negeri, Kuching pada 5 Ogos lalu.

Pasukan tuan rumah kelihatan agak kurang agresif ketika memulakan permainan malam ini, namun tetap berhati-hati terhadap kemaraan pasukan pelawat.

Kuching City hampir mendahului jaringan apabila dua pemainnya berjaya menembusi pertahanan Sabah dan hanya berdepan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-19, namun agak malang bola tersasar ke arah tepi kiri tiang gol tuan rumah.

Sesudah itu, Sabah mula mengatur gerakan balas dan melakukan beberapa cubaan bermula dengan sepakan kencang Gary Steven Robbat dari luar kotak penalti Kuching City pada minit ke-23, namun melepasi palang gol.

Cubaan Sabah diteruskan lagi sehinggalah pada minit ke-26, Rizal Ghazali berjaya meledakkan jaringan untuk tuan rumah selepas menerima hantaran sepakan percuma daripada Saddil Ramdani.

Kedudukan tuan rumah mendahului perlawanan dengan 1-0 itu kekal sehingga permainan berhenti rehat, namun berubah pada babak kedua apabila pemain lawan, Rames Lai berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57.

Sabah cuba mengubah kedudukan yang terikat 1-1 itu menerusi beberapa cubaan untuk menambah jaringan sepanjang baki masa perlawanan, namun tiada yang berhasil sehingga tamat masa perlawanan, termasuk lima minit masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 10:42 PM