PEMAIN JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang Negeri Sembilan pada aksi Liga Super esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang Negeri Sembilan pada aksi Liga Super esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Mampukah Johor Darul Ta'zim (JDT) menoktahkan kejuaraan Liga Super kesembilan berturut-turut dengan melakar kemenangan apabila berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Apapun, skuad kendalian Hector Bidoglio tidak boleh terlalu yakin untuk mencipta kemenangan ke atas anak didik K Devan yang akan turun habis-habisan bagi menidakkan pemburuan JDT itu tatkala skuad Hoben Jang Hoben juga mengintai keputusan positif dalam perlawanan itu.

Selain itu, skuad Harimau Selatan juga mengharap Terengganu FC mampu menjinakkan Sabah FC yang menjadi pencabar JDT dan jika ia menjadi kenyataan anak didik Bidoglio bakal melakar sejarah bola sepak negara untuk muncul juara liga kali kesembilan yang sememangnya sukar dilakukan oleh mana-mana pasukan sekali gus melakar kejayaan merangkul 'triple' piala iaiu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Liga Super.

Justeru pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa penyokong Harimau Selatan untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu dalam usaha pasukan itu melakar kemenangan tatkala berbaki lima lagi aksi dalam usaha untuk mencapai matlamat iaitu 'triple hatrick'.

"Pada musim ini, kita memenangi sembilan kejuaraan dengan Akademi JDT menyumbang tujuh piala termasuk JDT III memenangi Piala Presiden buat pertama kali manakala JDT II juga bakal dinobatkan juara Liga Perdana buat pertama kali juga dan cukup membanggakan.

"Apapun, skuad senior iaitu JDT berada di ambang kejuaraan tapi dalam permainan bola sepak apa saja boleh berlaku dan kita harus sentiasa memberi sokongan supaya pemain memberi sepenuh komitmen apabila berdepan Negeri Sembilan FC," kata Tunku Ismail.

Justeru, Bidoglio harus memaksimumkan perancangan taktikal bagi mengelak barisan pemain Devan mengambil kesempatan untuk menghukum kealpaan mahupun kelekaan berlaku terhadap barisan pemain JDT sekali gus beri kesan negatif terhadap skuad Harimau Selatan.

Malah, kepintaran dua penyerang prolifik JDT, Bergson da Silva yang kini muncul penjaring terbanyak liga selepas meledak 22 gol dan Fernando Forestieri tidak boleh melepaskan peluang keemasan untuk memburu kemenangan Harimau Selatan yang hanya berbaki lima perlawanan lagi sebelum melabuh tirai saingan liga elit domestik.

Sememangnya ia mendebarkan tapi di sebalik keghairahan memburu kemenangan, benteng JDT perlu lebih ampuh dan Bidoglio harus bijak menyenaraikan pemain yang bakal mengemudi benteng pasukan itu dan tidak lagi berlaku episod duka ketika aksi menentang PJ City FC.

Barisan tengah juga harus mantap bukan sahaja terlalu bergantung kepada Leandro Velazquez untuk menjana gerakan berbahaya malah kelibat seperti Natxo Insa dan Afiq Fazail atau Nazmi Faiz Mansor jika diturunkan dalam kesebelasan utama harus memainkan peranan dengan lebih berkesan.

Apapun, kecekapan penjaga gol sama ada Farizal Marlias atau Haziq Nadzli yang akan menjadi pilihan harus berhati-hati dengan ancaman serangan berbahaya barisan pemain Negeri Sembilan FC yang tidak boleh di pandang remeh persembahan mereka dan perlu konsisten menjaga gawang JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 11:32 AM