BARISAN pemain JDT giat menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
BARISAN pemain JDT giat menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak akan memberi laluan mudah buat Sabah FC apabila pasukan dari Negeri di Bawah Bayu itu yang mengidam slot ke saingan Piala AFC bertandang ke Stadiuim Sultan Ibrahim pada aksi terakhir Liga Super, malam esok.

Ini kerana JDT yang bergelar juara liga sembilan musim berturut-turut enggan berada dalam `mood' kecewa tatkala akan berpesta sebaik aksi menentang Sabah FC itu berakhir diikuti penyampaian trofi liga di hadapan penyokong skuad Harimau Selatan dan semestinya mereka mahu melakar kemenangan pada aksi terakhir liga.

Malah pengendali JDT, Hector Bidoglio berazam untuk memastikan aksi terakhir di laman sendiri akan dinoktahkan dengan kemenangan sekali gus mengulangi pencapaian pada musim 2016 selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang aksi liga.

"Sabah adalah pasukan hebat dalam saingan liga apabila berada di kelompok lima pasukan terbaik dan mereka pasti idamkan kemenangan kerana memburu slot ke saingan Piala AFC tapi kami juga mahukan kemenangan uhtuk menamatkan saingan tanpa kekalahan.

"Apapun, kami tetap berwaspada dengan taktikal yang akan ditampilkan pasukan lawan kerana mereka memiliki barisan pemain yang berkualiti dan mampu beri ancaman seandainya kami bersikap sambil lewa dalam perlawanan itu nanti.

"Apa yang boleh saya katakan, kita akan cuba sebaik mungkin bagi mencatat kemenangan pada aksi terakhir itu nanti dan saya menuntut kesebelasan utama yang akan diturunkan mempamerkan aksi terbaik seperti yang kerap dilakukan ketika melayani kunjungan pasukan lawan," katanya.

Pada pertembungan pusingan pertama, JDT ketika itu dibimbing bekas jurulatih, Benjamin Mora melakar kemenangan 2-1 menewaskan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 Julai lalu.

Kini Bidoglio pastinya mahu mengulangi pencapaian itu sambil berharap Fernando Forestieri yang tidak dapat diturunkan ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang menyaksikan JDT menang 4-1 pada aksi, Isnin lalu mampu beraksi menentang Sabah FC selepas mengalami kecederaan.

"Fernando mengalami kecederaan di bahagian paha dan sebab itu kami tidak mahu ambil risiko untuk turunkan dia beraksi menentang Kedah dan saya optimis dia bersedia untuk diturunkan berdepan Sabah pada aksi terakhir liga.

"Sama ada Fernando akan diturunkan atau sebaliknya, ia tidak membimbangkan kerana pemain gantian yang sedia ada seperti Akhyar (Rashid) dan Syafiq (Ahmad) mampu menggalas tugas untuk mengemudi barisan serangan dan kedua-dua pemain itu memiliki kualiti tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 11:36 AM