DOLLAH percaya prestasi Sri Pahang tidak terjejas dan diyakini lebih baik sepanjang tempoh tiga minggu tanpa perlawanan itu. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
DOLLAH percaya prestasi Sri Pahang tidak terjejas dan diyakini lebih baik sepanjang tempoh tiga minggu tanpa perlawanan itu. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Tiada aksi persahabatan membabitkan Sri Pahang FC sepanjang tempoh rehat panjang skuad itu dalam saingan Liga Super.

Ini kerana tumpuan utama skuad kendalian Datuk Dollah Salleh ialah lebih kepada latihan terutama mempertingkatkan aspek kecergasan.

Namun, Dollah percaya prestasi Sri Pahang tidak terjejas dan diyakini lebih baik sepanjang tempoh tiga minggu tanpa perlawanan itu.

"Boleh saya katakan bahawa setakat ini memang tiada perlawanan persahabatan membabitkan Sri Pahang.

"Fokus utama lebih kepada latihan terutama aspek kecergasan yang menjadi keutamaan dalam membentuk pasukan lebih mantap.

"Sepanjang tempoh tiga minggu ini kami harap segalanya dapat diberikan semua pemain untuk tampil dengan aksi terbaik mereka terutama baki lima perlawanan nanti," katanya.

Selepas mengharungi 17 perlawanan, Sri Pahang melakukan kebangkitan luar biasa apabila melonjak kedudukan kelima daripada ke-11 liga dengan 21 mata.

Skuad Tok Gajah akan kembali beraksi pada 9 September ini, apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC di Stadium Darul Makmur.

Berbaki empat perlawanan Liga Super, Sri Pahang akan beraksi empat perlawanan di halaman sendiri iaitu berdepan Kuala Lumpur City FC pada 9 September, Johor Darul Ta'zim (JDT) (7 Oktober), Sabah FC (11 Oktober) dan Negeri Sembilan FC (15 Oktober).

Hanya satu aksi di gelanggang lawan iaitu berdepan Sarawak United pada 1 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 1:46 PM