PEMAIN Sri Pahang FC meraikan jaringan ketika tewas 1-2 kepada Terengganu FC pada 21 Ogos lalu. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
PEMAIN Sri Pahang FC meraikan jaringan ketika tewas 1-2 kepada Terengganu FC pada 21 Ogos lalu. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) menuntut aksi konsisten Sri Pahang FC bagi memburu kedudukan lima terbaik dalam saingan Liga Super, musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, prestasi cemerlang dipersembahkan dalam lima perlawanan meletakkan skuad itu di landasan terbaik.

"SPFC berbangga dengan pencapaian dipersembahkan barisan kejurulatihan dan pemain selepas bermula dengan aksi kurang memuaskan.

"Namun, kebangkitan dipersembahkan pada lima perlawanan tanpa tewas membuktikan Sri Pahang sudah bersedia dan mampu memberi tentangan.

"Oleh itu, SPFC harap aksi cemerlang ini dapat dipersembahkan secara berterusan pada lima baki perlawanan nanti," katanya.

Mohammed Suffian berkata, empat daripada lima baki perlawanan di Stadium Darul Makmur diharap dimanfaatkan sebaik mungkin skuad kendalian Datuk Dollah Salleh.

Katanya, kelebihan itu tidak seharusnya dipersia-siakan terutama sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.

Sri Pahang akan beraksi empat perlawanan di halaman sendiri iaitu berdepan Kuala Lumpur City FC pada 9 September, Johor Darul Ta'zim (JDT) (7 Oktober), Sabah FC (11 Oktober) dan Negeri Sembilan FC (15 Oktober).

Hanya satu aksi di gelanggang lawan iaitu berdepan Sarawak United pada 1 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 8:25 PM