PEMAIN pertahanan Leicester City, Wesley Fofana melengkapkan perpindahan ke Chelsea dengan kontrak selama tujuh tahun. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan Leicester City, Wesley Fofana melengkapkan perpindahan ke Chelsea dengan kontrak selama tujuh tahun. FOTO AFP
AFP

London: Chelsea melengkapkan perpindahan bek tengah skuad bawah 21 tahun Perancis, Wesley Fofana dari Leicester City, umum kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Fofana, 21, menandatangani kontrak selama tujuh tahun di Stamford Bridge, umum kelab London itu.

Yuran perpindahan tidak didedahkan, tetapi laporan media menyatakan Chelsea membayar £70 juta (RM364 juta) serta bonus kepada bekas pemain Saint-Etienne itu.

"Wesley adalah pemain pertahanan berpotensi besar yang membuktikan kualitinya di EPL pada usia muda," kata Pengerusi Chelsea, Todd Boehly.

"Kami gembira mampu membawa antara bakat paling menarik di Eropah ke Chelsea dan menguatkan skuad kami untuk musim ini serta musim mendatang."

Fofana adalah pemain terbaharu ditandatangani untuk menguatkan benteng Chelsea selepas kehadiran Kalidou Koulibaly dari Napoli dan Marc Cucurella dari Brighton and Hove Albion.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel itu turut mendapatkan penyerang England, Raheem Sterling dari Manchester City ketika jendela perpindahan pemain yang akan ditutup esok.

"Saya berlatih bersama pasukan pagi ini dan ia seperti mimpi bagi saya. Saya sangat teruja untuk mula bermain bagi kelab dan penyokong," kata Fofana.

Fofana membuat 52 penampilan bersama Leicester sejak tiba pada Oktober 2020 dari Saint-Etienne dengan yuran £32 juta (RM166.41 juta) dan membantu kelab itu menjulang Piala FA 2021 dengan menewaskan Chelsea.

Dia membuat penampilan bersama Saint-Etienne ketika berusia 18 tahun dan bermain bersama bek tengah Arsenal dan Perancis, William Saliba di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 10:04 PM