CEO Kelab Bolasepak Melaka United, Datuk Justin Lim menafikan khabar angin yang dia meletakkan jawatan. FOTO ihsan MUSA
CEO Kelab Bolasepak Melaka United, Datuk Justin Lim menafikan khabar angin yang dia meletakkan jawatan. FOTO ihsan MUSA
Nazri Abu Bakar


Melaka: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Melaka United, Datuk Justin Lim menafikan khabar angin yang dia meletakkan jawatan.

"Berhubung khabar angin menyatakan saya meletakkan jawatan sebagai CEO Kelab Bolasepak Melaka United, ingin saya nyatakan bahawa ia tidak benar.

"Tidak dinafikan, pada mulanya saya benar-benar kecewa apabila wujudnya isu berkaitan dengan pegangan saham kelab ini. Walaubagaimanapun, selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan dilakukan, kami mencapai kata sepakat dan kini sedang dalam proses penyelesaian bersama.

"Di sini saya ingin menyatakan yang saya kekal komited untuk terus menerajui Melaka United FC. Pencapaian kita sejak pengambilalihan kelab pada tahun lalu boleh dibanggakan dan saya percaya pasukan tahun ini lebih baik dan mampu mencipta lebih banyak kejayaan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

"Saya ahli perniagaan yang masih baru di dalam industri bola sepak. Sudah pastinya saya tidak terlepas untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ini merupakan 'learning curve' untuk saya membawa kelab ini ke tahap lebih baik dari sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, dia sentiasa beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah dan tidak pernah lari daripada tugasnya.

Justin berkata, kelab berkenaan menghargai sokongan dan kesabaran peminat, penaja, Kerajaan Negeri Melaka, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan semua pihak berkepentingan.

Katanya, sokongan terbabit pemangkin semangat kepada kelab berkenaan untuk terus bergerak ke hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 9:08 PM