PEMAIN Sarawak United berdepan tunggakan gajI. FOTO Sarawak United
PEMAIN Sarawak United berdepan tunggakan gajI. FOTO Sarawak United
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil langkah proaktif bagi membantu meringankan beban pemain Sarawak United apabila menyalurkan sejumlah RM100,000 kepada kelab itu.

Penyaluran dana berkenaan diambil daripada hak penyiaran bagi membantu pasukan itu.

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-4 Bagi Penggal 2021-2025, semalam.

"Berdasarkan laporan MFL terima daripada PFAM, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji.

"Pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM)," katanya.

Terdahulu, PFAM mengesahkan menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United FC.

PFAM menerusi kenyataannya pada Rabu memaklumkan berdasarkan laporan itu, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pasukan terbabit untuk tuntutan tunggakan pemain terbabit yang membuat aduan pada 16 Jun lalu.

Menurut PFAM lagi, beberapa pemain Sarawak United turut diminta keluar daripada rumah kerana gagal melunaskan sewa.

Ujar Ab Ghani lagi, MFL memandang serius masalah terbabit dan berharap ia dapat diselesaikan segera.

"MFL memandang serius isu tunggakan gaji yang berlaku melibatkan Sarawak United," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 6:19 PM