SKUAD Sarawak United berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO Sarawak United FC
SKUAD Sarawak United berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO Sarawak United FC
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil inisitiaf mengadakan perbincangan bersama pengurusan Sarawak United bagi menyelesaikan isu berbangkit membabitkan perlesenan kelab.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam berkata, pasukan itu sudah menyerahkan bukti penyelesaian hutang tertunggak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 2021 kepada Pelesenan Kelab MFL pada 20 November lalu.

Namun, katanya, MFL tetap akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan Sarawak United untuk mendapatkan penjelasan berkaitan beberapa perkara termasuklah membabitkan maklumat kewangan pasukan itu.

"Penyerahan (bukti penyelesaian hutang) sudah dilakukan pada 20 November lalu dan esok akan diadakan perjumpaan secara bersemuka dengan pengurusan Sarawak United," katanya.

Sebelum ini, Sarawak united diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat berikutan terdapat tunggakan hutang membabitkan LHDN 2021.

Berikutan itu, pasukan terbabit harus menyerahkan pembayaran atau bukti penyelesaian atas hutang tertunggak mereka terhadap LHDN 2021 kepada Pelesenan Kelab MFL selewat-lewatnya pada 20 Nov lalu.

Pada masa sama, First Instance Body (FIB) juga akan meminta lebih banyak maklumat kewangan dari Sarawak United FC kerana keraguan terhadap kemampuan pemegang lesen untuk terus mencetuskan kebimbangan berterusan sehingga akhir musim. Sementara itu, berkaitan tunggakan gaji pemain Sarawak United seperti yang dijelaskan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) baru-baru ini, Stuart memaklumkan bahawa perkara itu dalam siasatan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"MFL mengambil inisiatif mengadakan pertemuan bersama PFAM dalam masa terdekat ini bagi membincangkan perkara terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 11:12 PM