PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Shahrul Nizam. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Shahrul Nizam. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Shahrul Nizam Mohd Nadzir berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan selepas muncul wira memastikan Sri Pahang FC seri 2-2 berdepan Melaka United, kelmarin.

Pemain tengah skuad Tok Gajah itu berkata, jaringan penyamaan pada minit terakhir perlawanan itu berkat daripada kerjasama rakan sepasukan untuk memastikan

skuad itu tidak pulang hampa.

"Apabila dimaklumkan akan menggantikan Nor Azam Azih pada minit ke-82, saya tekad memberikan persembahan terbaik.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya membantu pasukan untuk membantu Sri Pahang mengutip satu mata.

"Jaringan penyamaan pada mint akhir perlawanan juga hasil daripada kepercayaan dan kerjasama semua terutama kepercayaan jurulatih (Datuk Dollah Salleh).

"Kejayaan mengikat Melaka United selepas ketinggalan 0-2 juga hasil daripada semangat dan tidak mengenal erti putus asa dan hasilnya kami berjaya menafikan Melaka United daripada mengutip tiga mata," katanya.

Pada perlawanan itu, David Rowley menjaringkan gol pertama tiga minit sebelum tamat perlawanan selepas menerima umpanan Shahrul Nizam.

Jaringan itu ternyata menyuntik semangat skuad Tok Gajah apabila Shahrul Nizam pula menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-90, sekali gus menghadiahkan satu mata buat Sri Pahang.

Mengulas perlawanan menentang Penang FC Khamis ini, pemain kelahiran Maran, Pahang itu sentiasa bersedia sebaik disenaraikan sama ada selaku pemain utama atau gantian.

"Saya tidak akan mempersia-siakan peluang yang ada untuk memastikan Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan terbaik musim ini," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Musim ini, Shahrul Nizam menjaringkan dua gol setakat ini, termasuk satu gol pada saingan Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 2:08 PM