TIGA pemain Melaka United cuba menyekat kemaraaan pemain  Sri Pahang, Andres Steven Rodriguez Ossa (tengah). FOTO Bernama
TIGA pemain Melaka United cuba menyekat kemaraaan pemain Sri Pahang, Andres Steven Rodriguez Ossa (tengah). FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kelebihan aksi di gelanggang sendiri gagal digunakan Melaka United (MU) selepas sekadar seri 2-2 ketika berdepan Sri Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Walaupun selesa mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Ifedayo Olusegun dan gol Adriano Narcizo pada awal babak kedua namun tuan rumah gagal bertahan apabila pelawat bangkit menerusi dua jaringan pada lewat permainan membolehkan kedua-dua pasukan terikat satu mata.

Bagaimanapun aksi keseluruhan saingan 45 minit pertama agak seimbang buat kedua-dua pasukan dengan serang balas pantas untuk berusaha membuka jaringan pendahuluan.

Ifedayo memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-38 apabila menolak masuk hantaran lintang Syazwan Andik.

Pahang yang bermain dengan baik pada tiga aksi terakhir mereka turut melakukan percubaan bahaya dalam usaha menyamakan kedudukan namun rembatan Manuel Hidalgo pada minit ke-15 berjaya diselamatkan penjaga gawang Melaka Tian Keat See.

Babak kedua pula memperlihatkan kesungguhan tuan rumah menggandakan asakan ke kubu lawan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-51 menerusi Adriano.

Gol terbabit berpunca hantaran satu dua Wan Zaharulnizam bersama Adriano bagi membolehkan pemain import Brazil itu merembat kencang menewaskan penjaga gol Pahang, Mamadou Samassa.

Bagaimanapun anak buah Dollah Salleh tidak berputus asa dan terus melakukan asakan walaupun ketinggalan 0-2 dan mereka berjaya merapatkan jurang menerusi David Rowley tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Jaringan terbabit menjadi pemangkin kepada usaha mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-90 dengan kali ini giliran Shahrul Nizam bagi menghadiahkan satu mata buat Sri Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 11:26 PM