PEMAIN bintang Liverpool, Mohamed Salah (kanan) dan rakan sepasukannya, Andrew Robertson kecewa selepas tewas 1-2 di tangan Manchester United di Old Trafford, Isnin lalu. FOTO AP
PEMAIN bintang Liverpool, Mohamed Salah (kanan) dan rakan sepasukannya, Andrew Robertson kecewa selepas tewas 1-2 di tangan Manchester United di Old Trafford, Isnin lalu. FOTO AP
AFP

London: Naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Liverpool terdesak untuk meraih kemenangan pertama pada kempen musim ini apabila bertemu Bournemouth, esok.

Pada ketika the Reds bermula hambar, pendahulu liga ketika ini, Arsenal yang akan menentang Fulham, kini pasukan tunggal merekodkan tiga kemenangan dalam tiga perlawanan.

Selepas beberapa bulan dan hanya dua perlawanan memisahkan mereka untuk mencipta sejarah menang empat trofi, Liverpool tiba-tiba memulakan kempen EPL dengan persembahan terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Musim lalu, anak buah Jurgen Klopp dinafikan gelaran EPL oleh Manchester City pada hari terakhir dengan perbezaan satu mata dan tewas di final Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid, menyebabkan hanya trofi Piala FA dan Piala Liga menjadi kebanggaan mereka.

Ketika ini, Liverpool yang dibelenggu masalah kecederaan mengalami tekanan hebat selepas hampir mencipta sejarah empat trofi.

Kesilapan luar biasa yang jarang berlaku menyebabkan mereka seri dengan Fulham dan Crystal Palace sebelum tewas 1-2 di Manchester United, Isnin lalu dan United mempamerkan persembahan bertenaga selepas tewas dua aksi awal.

Tindakan James Milner berperang mulut dengan Virgil van Dijk selepas Jadon Sancho menjaringkan gol pertama United adalah pemandangan yang memberi tekanan serta menggambarkan situasi semasa Liverpool.

Jentera serangan kurang bermaya selepas Sadio Mane menyertai Bayern Munich manakala penyerang baharu, Darwin Nunez digantung tiga perlawanan akibat kad merah, Liverpool kelihatan longlai di bahagian tengah dan rapuh di benteng.

Kunjungan Bournemouth ke Anfield memberi peluang kepada Liverpool untuk bangkit semula dan mereka mesti menang untuk mengelak ketinggalan jauh daripada perebutan gelaran.

Sementara itu, pada ketika keyakinan semakin meningkat di utara London, Oleksandr Zinchenko memberi amaran kepada Arsenal supaya tidak terbawa-bawa dengan kejayaan menduduki tangga teratas liga setakat ini.

Bek kiri Ukraine itu cukup faham apa yang diperlukan untuk muncul juara EPL selepas dia cemerlang bersama juara bertahan, Manchester City, sebelum ini.

Selepas menyertai Arsenal pada hujung musim ini, Zinchenko dan rakan sepasukannya di City, Gabriel Jesus memberi impak besar kepada pasukan Mikel Arteta berbekalkan pengalaman hebat pernah bergelar juara.

Hasilnya, Arsenal memenangi tiga perlawanan awal liga buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun.

"Ini baru permulaan musim, banyak lagi perlawanan menanti selepas ini dan banyak yang perlu dipertingkatkan," kata Zinchenko menjelang kunjungan Fulham ke Stadium Emirates, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 9:53 AM