DR Pekan Ramli. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Pekan Ramli. FOTO Luqman Hakim Zubir
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu pengambilan dadah yang kembali menular dikalangan penggiat bola sepak tanahair harus dipandang serius agar ia tidak merebak dan menjadi barah.

Pemerhati sukan tanah air, Dr Pekan Ramli berkata, kes tangkapan bekas pemain kebangsaan semalam sememangnya mengejutkan ketika Liga Malaysia (Liga M) sudah menunjukkan peningkatan dan tahap profesional yang semakin baik.

Namun penangkapan bekas pemain itu harus ditangani sebaiknya kerana di bimbangi merebak kepada pemain, pegawai atau penggiat bola sepak yang masih berada disekelilingnya.

"Kena ingat apa yang berlaku ini juga macam rantaian di mana kita risau ada yang terbabit dengan gejala tidak sihat ini.

"Kita bukan nak salah sesiapa, tetapi tindakan segera harus diambil terutamanya mereka yang berada disekitarnya.

"Kita tidak mahu ada lagi yang mengikut kerana ia akan memberi imej yang tidak baik kepada bola sepak negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di Johor Bahru.

Suspek, 36, dikatakan pernah menyertai beberapa pasukan dalam saingan Liga Super, selain menyarung jersi Harimau Muda dan Harimau Malaya.

Berdasarkan maklumat, bekas pemain itu dikatakan ditahan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

"Satu lagi yang paling kita bimbang ialah bila barang terlarang itu susah nak dapat dan penagih itu boleh buat sesuatu di luar batasan.

"Misalnya ada kes sampai sanggup bunuh dan keluar anak dan mak sendiri, jadi benda macam ini kita bimbang dan tak mahu ia berlaku.

"Saya harap pihak bertanggungjawab dapat lakukan siasatan sebaiknya dan jika terdapat kes ia perlu ditangani secara menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 6:00 PM