JODOH Ozil dengan Fenerbahce tidak lama.
JODOH Ozil dengan Fenerbahce tidak lama.
Agensi

Istanbul: Mesut Ozil meninggalkan Fenerbahce selepas kontraknya ditamatkan, menurut laporan semalam.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu menyertai gergasi Turki pada Januari 2021 dan tampil 36 perlawanan bersama kelab tetapi selepas meledak lapan gol dalam 22 perlawanan musim lalu, khidmat Ozil tidak diperlukan lagi dan akhirnya dibebaskan, menurut NTV Spor.

Ozil mungkin tanpa kelab untuk beberapa ketika namun dia mungkin kekal di Istanbul susulan mengadakan rundingan dengan kelab Istanbul Başakşehir.

Bekas bintang Arsenal itu tersisih di Fenerbahce dan tidak mendapat tempat dalam skuad pengendali sementara sebelum ini, Ismail Kartal yang mempersoalkan tahap kecergasannya.

Pelantikan Jorge Jesus sebagai pengurus juga tidak mengubah nasib Ozil yang terus dibekukan sehingga kontraknya ditamatkan.

Ozil sebelum ini dilaporkan mahu menamatkan karier di Fenerbahce tetapi kelab itu berpendapat sebaliknya.

Dia dijangka menyertai bekas pemain Tottenham, Nacer Chadli yang kini beraksi di Istanbul Basaksehir.

Ozil kini menghampiri penghujung kariernya dan jika dia tidak mendapat tempat dalam mana-mana kelab, dia mungkin menimbangkan persaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 8:05 AM