OZIL akan tinggalkan Arsenal. FOTO EPA
OZIL akan tinggalkan Arsenal. FOTO EPA
AFP

London: Gandingan tujuh tahun Mesut Ozil dengan Arsenal bakal berakhir selepas laporan mendakwa bekas bintang Jerman itu bersetuju secara prinsipal untuk menamatkan kontraknya bersama Gunners.

Pemain berusia 32 tahun itu tidak beraksi sejak Mac tahun lalu dan perjanjian kontraknya dengan gaji £350,000 (RM1.9 juta) seminggu itu akan berakhir pada hujung musim ini.

Ozil dijangka akan meninggalkan Arsenal pada pintu perpindahan pemain bulan ini dengan kelab gergasi Turki, Fenerbahce menjadi pilihan untuk menyambarnya secara percuma.

The Athletic melaporkan Ozil dijangka akan berkunjung ke Istanbul minggu ini untuk melengkapkan perpindahan ke Fenerbahce.

Selepas melakukan 10 penampilan ketika Mikel Arteta mula-mula membimbing kelab itu, Ozil tidak diturunkan sejak pasukannya melakar kemenangan 1-0 ke atas West Ham sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

Namanya tidak disenaraikan dalam skuad Liga Perdana dan Liga Europa dengan Arteta dan pengarah teknikal, Edu menegaskan keputusan itu berkaitkan dengan bola sepak.

Bagaimanapun beberapa faktor dikaitkan dengan keputusan untuk membekukan Ozil.

Di sebalik menerima gaji tertinggi, Ozil menolak keputusan pemotongan gaji pada April lalu ketika rata-rata pemain dan kakitangan sokongan bersetuju dengan tindakan sedemikian.

Pada Disember 2019, Arsenal turut tidak memberi sebarang kenyataan berhubung tindakan Ozil di media sosial yang mengkritik layanan buruk terhadap populasi Uighur di China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 9:54 AM