OZIL masih laku keras.
OZIL masih laku keras.
Agensi

Istanbul: Mesut Ozil diumumkan sebagai pemain Istanbul Basaksehir hanya selepas 29 minit kontraknya bersama Fenerbahce ditamatkan.

Bekas bintang Arsenal berusia 33 tahun itu menyertai Fenerbahce 18 bulan lalu namun kontraknya ditamatkan malam tadi.

Ozil disisihkan sejak Mac lalu susulan tidak berpuas hati dengan pengurus sementara kelab Ismail Kartal.

Bekas pemain Jerman itu hanya beraksi 37 kali sepanjang tempoh setahun setengah di Turki dan akhirnya malam tadi kontraknya yang masih berbaki dua tahun ditamatkan.

Fenerbahce dalam kenyatan berkata: "Kontrak antara kelab dan Ozil ditamatkan dengan persetujuan bersama. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Ozil dalam kariernya selepas ini."

Namun menakjubkan, Ozil diumumkan sebagai pemain Istanbul Basaksehir hanya kurang setengah jam selepas penyingkirannya.

Kelab Tukri itu dalam Twitter hanya tertera ringkas,"@M10," - Ozil's handle.

Ciapan itu disertakan sekali lagu popular Turki, Kir Zincirlerini selama 35 saat.

Istanbul Basaksehir antara kelab bervisi besar dan mendapatkan beberapa pemain ternama sejak beberapa tahun lalu termasuk Robinho, Demba Ba dan Emmanuel Adebayor.

Mereka menduduki tangga keempat Turkish Super Lig musim lalu dan berjaya menewaskan Manchester United 2-1dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara 2020-21.

Ozil hanya menjaringkan sembilan gol dan mencipta tiga bantuan jaringan sepanjang 18 bulan di Fenerbahce.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 7:50 AM