SKUAD B-19 negara menjalani latihan di Padang B, Gelora Bung Karno, Jakarta, menjelang Kejuaraan B-19 AFF 2022. - FOTO FB FAM
SKUAD B-19 negara menjalani latihan di Padang B, Gelora Bung Karno, Jakarta, menjelang Kejuaraan B-19 AFF 2022. - FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penjaga gol skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan, Syahmi Adib Haikal yakin dengan keupayaan mereka untuk melangkah lebih jauh di saingan Piala AFF B-19, bermula esok.

Syahmi berkata, melihat rakan sepasukan yang cukup mantap selain strategi direncanakan jurulatih Sazali Waras mampu membawa skuad B-19 negara melangkah lebih jauh.

Katanya, perkara penting ketika ini adalah barisan pemain kurang melakukan kesilapan dan sentiasa mempamerkan corak permainan meyakinkan, sekali gus boleh mencipta keputusan positif kelak.

"Kami bersedia 100 peratus dengan apa yang jurulatih terapkan kepada pasukan dan akan cuba bermain sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan.

"Melihat kepada barisan pemain sudah tentu cukup meyakinkan dan mampu mencapai sasaran melangkah ke separuh akhir," katanya.

Selain itu, Syahmi memasang impian mahu bertemu Vietnam dan Indonesia berikutan dua pasukan terbabit dikatakan mempunyai barisan pemain hebat dan corak permainan mantap.

"Saya mahu berjumpa dengan dua pasukan itu kerana sedia maklum mereka mempunyai corak permainan cukup bagus, sekali gus bakal memberi tentangan sengit kepada Malaysia," katanya.

Skuad B-19 negara berada di Indonesia lebih awal sebagai persiapan mengharungi kejohanan terbabit dengan perlawanan pertama menentang Kemboja, esok.

Harimau Muda kemudian akan bertemu dengan Singapura pada 7 Julai, Timor-Leste pada 9 Julai dan perlawanan terakhir menentang Laos pada 11 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 5:00 PM