SKUAD B-23 akan mengharungi kejohanan Piala AFF B-23. FOTO FAM
SKUAD B-23 akan mengharungi kejohanan Piala AFF B-23. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) merancang untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan mengharungi kejohanan Piala AFF B-23 yang akan bermula 18 Ogos ini.

Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, perlawanan persahabatan terbabit cukup penting bagi membentuk pasukan yang lebih mantap dan sistematik.

Beliau berkata, perlawanan persahabatan itu mungkin hanya dilakukan di dalam negara dan lawan bagi skuad B-23 negara akan diumumkan kelak.

"Kita mahu pastikan skuad B-23 negara kali ini cukup mantap dan mempunyai keserasian cukup baik sekali gus mampu meraih keputusan positif pada perlawanan Piala AFF itu.

"Barisan pemain skuad B-23 akan mengharungi dua perlawanan persahabatan mungkin pada Julai atau Ogos. Pasukan mana yang bakal menguji skuad B-23 akan diumumkan kelak,"katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pasukan negara diundi dalam Kumpulan B saingan Piala AFF B-23 dan bakal bertemu Indonesia pada 18 Ogos dan Timor-Leste pada 22 Ogos di Chonburi, Thailand.

Juara kumpulan (3 pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) layak ke pusingan separuh akhir saingan itu.

Pada masa sama, skuad negara juga akan mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 n pada bulan September di Bangkok, di mana Malaysia diundi dalam kumpulan H bersaman tuan rumah, Filipina dan Bangladesh.

Juara daripada 11 kumpulan kelayakan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik bersama Qatar selaku tuan rumah bagi melengkapkan 16 pasukan terbaik.

Piala Asia itu juga adalah laluan untuk ke Sukan Olimpik Paris, di mana tiga pasukan terbaik akan meraih tiket ke temasya dunia itu yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 5:38 PM