HAMIDIN (kiri) ketika pertemuan dengan skuad B-19 tahun negara, hari ini. FOTO FB FAM
HAMIDIN (kiri) ketika pertemuan dengan skuad B-19 tahun negara, hari ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran layak ke separuh akhir buat skuad bawah 19 tahun negara (B-19) pada saingan Piala AFF B-19 di Indonesia bermula 2 hingga 15 Julai ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau turut mengingatkan pemain agar mempamerkan aksi bertenaga, sekali gus menepis kritikan negatif.

"Kita meletakkan sasaran skuad B-19 untuk ke separuh akhir dan selepas itu mengharapkan pemain mampu ke final," katanya pada perjumpaan dengan skuad B-19 negara, hari ini.

Selain pasukan muda negara, Hamidin turut meluangkan masa dengan skuad bola sepak wanita negara yang akan terbang ke Manila pada 1 Julai ini untuk menyertai kejuaraan Wanita AFF 2022 di Binan City dari 4 hingga 12 Julai ini.

beliau turut mengingatkan setiap pemain kebangsaan supaya manfaatkan peluang terpilih untuk berjuang demi Malaysia dengan sebaiknya.

"Sebagai tanda kebanggaan terpilih menyarungkan jersi lambang Negara, setiap pemain (lelaki dan wanita) perlu ada misi untuk mencipta kejayaan demi Malaysia dan bukan bersifat peribadi.

"Bukan mudah untuk kita terpilih menyarungkan jersi negara dan pastinya terlalu banyak pengorbanan sudah dilalui, gunakan kepercayaan ini untuk beraksi dengan baik, sekali gus menjulang nama negara.

"Saya lihat prestasi skuad wanita ketika menentang Bangladesh dalam perlawanan persahabatan tempoh hari ada peningkatan, tetapi belum cukup kerana masih ada kelompongan perlu dibaiki segera.

"Ini kerana kita perlu mengkaji siapa lawan dan perlu sentiasa peka akan posisi pihak lawan. Kita perlu tahu tanggungjawab posisi kita, serta pantas bertindak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 7:05 PM