SYAHMI meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Terengganu FC
SYAHMI meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Terengganu FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kebangkitan diperagakan pemain Terengganu FC (TFC) menyaksikan jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner tersenyum selepas pasukannya berjaya mengikat tuan rumah, Bali United 1-1 pada aksi kedua Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) semalam.

Pada perlawanan di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali, penyerang muda Muhammad Syahmi Zamri muncul penyelamat selepas menyamakan kedudukan pada minit ke-84 sesudah kelab dari Indonesia itu terlebih dahulu di depan pada minit ke-54 hasil jaringan Privat Mbarga.

Dengan keputusan itu, TFC kekal di kedudukan kedua Kumpulan G di belakang kelab Indonesia itu dengan berkongsi empat mata manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dihuni wakil Australia, Central Coast Mariners dan kelab Filipina, Stallion Laguna FC.

"Sebelum dan selepas perlawanan, kami sudah jangkakan TFC layak mendapat satu mata lebih-lebih lagi melihat prestasi semasa pasukan lawan selain beraksi di tempat lawan.

"Tahniah buat pemain yang tidak berputus asa dan bangkit daripada ketinggalan sebelum berjaya menyamakan kedudukan di penghujung babak kedua, ini karakter yang bagus dipamerkan pemain yang berjuang habis-habisan," kata pengendali kelahiran Croatia itu.

Bagaimanapun, beliau tanpa berselindung akui sedikit kecewa dengan keputusan itu kerana anak buahnya berjaya mendominasi permainan dengan kerap menekan tuan rumah, namun gagal menambah jaringan.

"Saya lihat pemain berjaya mengawal permainan dengan baik terutama pada babak pertama dengan beberapa percubaan menarik, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

"Selepas jaringan Bali United, saya sedikit bimbang kerana pemain kami tidak peragakan keistimewaan yang mereka ada, beberapa percubaan berjaya dilakukan, namun tidak menemui jaringan," ujar jurulatih berusia 57 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 4:25 PM