Windsor John (tengah). -FOTO NSTP
Windsor John (tengah). -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Prosedur operasi standard (SOP) Stadium Nasional Bukit Jalil perlu diperkemaskan lagi terutama ketika hujan lebat kerana ia sudah ketinggalan zaman.

Itu nasihat Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang dilihat masih mengamalkan sistem lama dalam menangani situasi padang bertakung ekoran hujan yang lebat.

Ujarnya, kenyataan PSM yang sebelum ini mencadangkan agar perlawanan antara Malaysia dan Bahrain dilewatkan bagi membolehkan air bertakung keluar mengikut saluran disediakan adalah cara lama dan sudah tidak relevan.

Katanya, seharusnya pihak stadium selaku pemilik menggariskan SOP lebih terkini dengan menyediakan kelengkapan sewajarnya jika hujan turun dengan lebat.

"Apa jaminan yang hujan akan berhenti sekiranya perlawanan itu ditangguhkan sehingga jam 9.30 malam?

"Kalau hujan turun lebat dan kemudian mengharapkan air keluar secara automatik itu macam cara lama. SOP perlu lebih baharu dan ikut cara terkini," katanya.

Sabtu lalu, aksi membabitkan Malaysia dan Bahrain dalam Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 mendapat perhatian ramai apabila petugas stadium menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras untuk membuang air yang bertakung akibat hujan lebat sebelum aksi bermula.

Tindakan petugas itu mengundang kontroversi apabila ia dilihat mencemarkan imej negara ketika kebanyakan negara lain sudah menggunakan kaedah lebih moden seperti jentera menolak air mahupun kain kanvas besar untuk menutup permukaan padang.

Susulan kecaman demi kecaman, akhirnya PSM tampil mempertahankan diri dengan menyalahkan penganjur atau lebih tepat AFC yang tidak mahu mendengar nasihat untuk melewatkan sepak mula permainan selama setengah jam bagi membolehkan air bertakung keluar mengikut saluran paip yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 2:45 PM