PENYERANG Norway, Erling Braut Haaland meraikan gol kedua pasukannya keytika menentang Sweden, semalam. FOTO REUTERS
PENYERANG Norway, Erling Braut Haaland meraikan gol kedua pasukannya keytika menentang Sweden, semalam. FOTO REUTERS
AFP

Manchester: Erling Haaland berkata, perpindahannya ke Manchester City adalah langkah hebat untuk kariernya dan mahu merangkul lebih banyak trofi bersama juara Liga Perdana Inggeris itu.

Bulan lalu, City mengumumkan mereka memeterai perjanjian dengan kelab gergasi Jerman, dari Borussia Dortmund itu apabila membayar klausa pelepasan Haaland berjumlah AS$63 juta (RM278.37 juta).

Perpindahan penyerang berusia 21 tahun itu dilengkapkan secara rasmi, hari ini, apabila Haaland menandatangani kontrak lima tahun dan mengikuti jejak bapanya, Alfie Inge Haaland, yang bermain untuk City antara 2000 dan 2003.

"Ini adalah hari yang membanggakan buat saya dan keluarga. Saya selalu menyaksikan perlawanan City dan meminatinya sejak beberapa musim lalu," kata Haaland.

"Saya mahu menjaringkan banyak gol, memenangi trofi dan meningkat sebagai pemain bola sepak dan yakin mampu melakukannya di sini.

"Ini adalah langkah hebat buat saya, move dan tidak sabar untuk bermula dengan latihan pra musim."

Kehadiran antara bakat terbesar dalam bola sepak dunia itu menamatkan usaha City mencari penyerang berbisa bagi menggantikan Sergio Aguero, yang meninggalkan kelab itu, tahun lalu.

Musim panas lalu, City gagal mendapatkan kapten England, Harry Kane dari Tottenham Hotspur, tetapi anak buah Pep Guardiola masih mampu mengatasi Liverpool dengan satu mata untuk gelaran Liga Perdana Inggeris keempat dalam lima musim.

Bagaimanapun, mereka gagal memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama apabila tumbang 5-6 kepada Real Madrid pada aksi separuh akhir dramatik.

Haaland menjaringkan 23 gol dalam 19 perlawanan Liga Juara-Juara Eropah bersama Dortmund dan RB Salzburg dan dijangka membantu City melangkah lebih jauh di Eropah.

"Terdapat ramai pemain kelas dunia dalam skuad ini dan Pep adalah satu daripada pengurus terhebat sepanjang zaman.

"Jadi, saya percaya berada di tempat yang betul untuk mencapai impian saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 9:34 PM