REAKSI Haaland ketika bertemu Bayern Munich pada aksi persahabatan. FOTO AFP
REAKSI Haaland ketika bertemu Bayern Munich pada aksi persahabatan. FOTO AFP
Agensi

London: Jamie Carragher mendakwa Erling Haaland tidak akan menjadi pengubah nasib untuk Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana tetapi bersetuju penyerang itu dapat membantu kelab baharunya menamatkan penantian menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Selepas muncul penyerang prolifik untuk Borussia Dortmund, Haaland menyertai City dengan harga £51 juta (RM274.6 juta) pada musim panas lalu dan ramai mahu melihat impaknya bersama City.

Bagaimanapun, legenda Liverpool, Carragher mendakwa Haaland tidak akan membawa perubahan dalam saingan Liga Perdana kerana City sudah mempunyai keupayaan untuk memenangi kejuaraan liga tanpanya.

Pasukan Pep Guardiola memenangi liga dalam empat daripada lima kempen terakhir mereka dengan Liverpool satu-satunya pasukan yang menghalang mereka pada musim 2019-20.

Bercakap kepada talkSPORT, Carragher berkata: "Saya masih fikir City adalah pilihan, tetapi saya tidak fikir Haaland adalah pengubah nasib City dari segi memenangi liga kerana mereka sudah pun menguasai liga dengan meraih banyak mata."

Walaupun City dibarisi pemain bertaraf bintang, City masih kempunan untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Carragher bagaimanapun berasakan bahawa Haaland boleh membuat perubahan besar di pentas Eropah itu.

"Saya rasa Haaland akan menjadi tumpuan dalam Liga Juara-Juara. Jika dia bermain di tempat lawan, mereka tidak akan kalah dalam perlawanan berkenaan. Itulah perbezaan yang akan dilakukan Haaland," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 11:08 AM